Home Ekonomi STB tidak pernah henti promosi Sarawak

STB tidak pernah henti promosi Sarawak

Sharzede Datu Salleh Askor

KUCHING – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sentiasa bersedia dan mengatur strategi untuk mengembalikan kegemilangan industri perlancongan Sarawak apabila mendapat ‘lampu hijau’ dari kerajaan dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Datu Salleh Askor berkata, STB optimis industri perlancongan akan kembali mendapat rentaknya tidak lama lagi melihat kepada kejayaan program vaksinasi negara dan sentiasa berinovasi bagi memastikan industry ini kekal pada waktu sukar ini.

”Sejak pandemik Covid-19 melanda dan menjejaskan ekonomi negara dan juga industri perlancongan terutamanya, STB telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan impak kepada pemain industri pelancongan tempatan.

Antara inisiatif dari peruntukan dana STB adalah Kempen Sia Sitok Sarawak, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak dan Pakej Insentif Pengunjung (Visitors Incentive Package- VIP),” katanya.

Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak merupakan program pemangkin untuk memperluaskan jejak Digital Pelancongan Sarawak dengan memberi insentif kepada pemain industri untuk pembangunan dan penyelenggaran laman web, penyediaan isi kandungan dan pengiklanan digital yang bertumpukan pelancongan Sarawak.

Manakala Pakej Insentif Pengunjung bertujuan untuk membantu membangunkan semula perlancongan Sarawak selepas pandamik.

Ia merupakan insentif untuk membantu agensi perlancongan menarik kemasukan pelancong domestik dan juga antarabangsa.

”Selain itu, sebagai usaha untuk merevitalisasi sektor pelancongan Sarawak pada masa yang mencabar ini, kami melancarkan Kempen Pelancongan Antara Negeri Sarawak, 'Sia Sitok Sarawak' v1.0 yang dilancarkan pada 17 Ogos 2020.

”Melihat kepada kejayaan kempen ini yang telah menjadi satu jenama, Sia Sitok Sarawak V2.0 dilancarkan pada bulan April tahun ini,” katanya sambil menekankan bahawa Sarawak perlu berwaspada dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila kebenaran melancong dibuka semula kelak.

Seperti negeri-negeri lain di Malaysia, Sarawak turut terjejas ekoran pandemik dengan mencatatkan kejatuhan teruk sebanyak 93.95 % bagi tempoh Januari-Mei 2021 dengan jumlah kemasukan pelancong seramai 56,278 berbanding 930,056 pada tempoh yang sama pada tahun 2020.

Bagaimanapun, jika kerajaan membuka sempadan daerah dan membenarkan aktiviti rentas daerah, penduduk di Sarawak boleh berkunjung ke daerah-daerah di Sarawak dan ini dapat merancakkan aktiviti perlancongan domestik.

Sharzede menambah, STB tidak pernah berhenti untuk mempromosikan Sarawak dengan memberi penekanan kepada budaya, pengembaraan, alam semulajadi, festival, makanan (culture, adventure, nature, festivals and food -CANFF) dan juga memperomosikan konsep Pelancongan Bertanggungjawab (responsible tourism).

Katanya, promosi berterusan ini penting untuk menimbulkan keinginan untuk berkunjung, dan menjadikan Sarawak sebagai 'teratas dalam senarai' tempatan apabila industri pelancongan domestik dibuka semula nanti. – MalaysiaGazette