Home Nasional 52 premis diarah tutup, 355 individu ditahan ingkar SOP – Hishammuddin

52 premis diarah tutup, 355 individu ditahan ingkar SOP – Hishammuddin

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 52 premis termasuk 10 kilang, 39 premis perniagaan dan tiga tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelanggaran SOP itu dikesan selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 85,520 pemeriksaan dan snap check Covid-19, melibatkan 19,315 anggota di seluruh negara, semalam.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,975 kilang, 14,782 premis perniagaan, 979 tapak pembinaan dan 283 asrama penempatan pekerja.

“Ekoran kegagalan mematuhi SOP, sebanyak 52 premis meliputi kilang (10), premis perniagaan (39), tapak pembinaan (3) diarahkan tutup serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, pihak berkuasa juga mengeluarkan kompaun terhadap 330 individu dan 25 individu pula direman kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, dalam Operasi BENTENG (Op BENTENG) semalam, pihak berkuasa telah menahan 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas 25 kenderaan darat dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Op BENTENG melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 890 Sekatan Jalan Raya (SJR),” katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 822 pemantauan khas harian ke atas 10 jenis bekalan barangan keperluan asas terdiri daripada 637 peruncit, 154 pemborong dan 31 pengilang.

“KPDNHEP juga telah melakukan 1,721 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 1,721 atau kesemua premis mematuhi SOP.

“Pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette