KUANTAN – Sebuah bengkel terpaksa dijadikan tempat tinggal kepada empat beranak sejak 10 tahun lalu kerana desakan hidup.
Mereka kurang berkemampuan untuk menyewa tempat yang lebih selesa dan kini memerlukan bantuan untuk membaiki ruang bengkel yang dijadikan rumah itu.
Bagi Iskandar Zulkarnain Ismail, 50, dia memerlukan bantuan bagi membaiki bumbung bocor dan membina bilik air yang sempurna buatnya sekeluarga.
Empat sekeluarga tinggal di bengkel mencuci lori kerana tidak mampu menyewa rumah kediamanBengkel mencuci lori di Lorong Seri Teruntum di sini menjadi pilihan Zulkarnain kerana tidak mampu menampung perbelanjaan keluarganya memandangkan pekerjaan yang dilakukan ada pasang surut lebih-lebih lagi tatkala musim penularan Covid-19.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati bangunan bengkel mempunyai satu bilik keadaanya terlalu sempit.
Malah ia tidak sesuai bagi Iskandar, isteri serta dua anaknya tinggal selain tidak ruang untuk dapur untuk mereka memasak.
Penempatan yang dibina oleh pasangan suami isteri itu dibina sendiri sedikit demi sedikit dan melalui wang yang dipinjam daripada Amanah Ikhtiar beberapa tahun lalu.
“Sewa tanah RM300 sebulan, bina bengkel ini pada mulanya untuk tempat sumber mencari rezeki namun kerana tidak mampu menyewa rumah lain, kami sekeluarga tinggal di sini.
“Sebelum ini pernah menyewa tetapi kos taraf hidup semakin meningkat, jadi untuk menjimatkan kos dan memudahkan urusan, kami pilih tinggal di dalam bengkel sahaja.
“Kami perlukan bantuan modal untuk membaiki zink yang bocor dan tandas yang lebih selesa, untuk lebih jimat proses ubah suai dan pembaikan boleh dilakukan sendiri oleh kami suami isteri,” terang Iskandar.
Jelasnya, dia juga baru sahaja memohon bantuan Zakat Pahang secara atas talian dan berharap agar permohonannya diluluskan.
ARTIKEL BERKAITAN :
Pelbagai insentif, pakej bantuan ringankan beban rakyat
Jangan hantar bantuan bakul makanan sahaja, perlu ada wang tunai
Bagi isterinya, Raja Noraishah Raja Umar, 37, juga berharap agar ada bantuan dapat dihulurkan bagi meringkan beban yang mereka tanggung seperti kos sewa tanah yang dirasakan terlalu besar memandangkan pendapatannya yang terjejas.
“Sebelum ini, upah memcuci dan mengecat lori untuk PUSPAKOM dapat RM80 sebuah lori kecil manakala RM130 bargi lori bersaiz besar.
“Jadi, semasa musim PKP dan PKPD dilaksanakan, memang pendapatan terjejas teruk dan tidak peluang pekerjaan lain,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana bekalan makanan mencukupi kerana jiran sekeliling selalu bersedekah.
Terdahulu wakil Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Amanita IPD Kuantan telah menziarah keadaan keluarga Iskandar dan dibantu oleh pertubuhan setempat. – MalaysiaGazette