Home Nasional KJ perjelas Program PICK di Dewan Rakyat pagi ini

KJ perjelas Program PICK di Dewan Rakyat pagi ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hari ketiga Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini diteruskan dengan sesi penerangan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dijelaskan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin disusuli sesi ahli-ahli Parlimen mengemukakan persoalan dan cadangan sebelum dijawab menteri berkenaan.

Antara perkara-perkara yang dijangka dibangkitkan ahli Parlimen ialah mengenai kadar vaksinasi negara, perolehan bekalan vaksin, pusat pemberian vaksin (PPV) dan isu suntikan vaksin kosong.

Ketika ini, Malaysia antara negara yang terpantas menvaksinasi penduduknya dengan kapasiti kadar suntikan mencapai lebih 500,000 dos sehari.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, bermula Isnin hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Pada sidang khas itu, kesemua 220 ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan Covid-19 serta memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette