Home Nasional Lambakan 1.5 tan timun sehari resahkan penanam

Lambakan 1.5 tan timun sehari resahkan penanam

Foto hiasan

PASIR MAS – Dua beradik penanam sayur-sayuran kini dalam keadaan tertekan, apabila hasil tanaman timun yang diusahakan tiga tahun lalu, kini mempunyai lambakan kira-kira 1.5 tan sehari, berikutan keterbatasan pasaran sejak dua minggu lepas.

Nik Azani Nik Yaakub, 46, dan adiknya, Nik Azrin Nik Yaakub, 29, berkata, lambakan itu menyebabkan tuaian harian mereka yang tidak terjual hampir RM2,000 sehari.

“Kami mengambil inisiatif memberikan timun yang tidak terjual diagihkan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang menginginkanya.

“Kami menanam timun batang dan timun ‘baby’ sejak tiga tahun lalu dan menyedari berlaku pengurangan permintaan sejak Januari tahun ini. Keadaan bertambah teruk apabila berlaku lambakan sejak kebelakangan ini,” kata Nik Azrin ketika ditemui pemberita di Kampung Pulai, dekat sini hari ini.

Katanya, hasil tuaian dihantar ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu pada setiap pagi untuk dijual kepada tiga pemborong, tetapi kini lambakan turut berlaku di pusat tersebut berikutan kekurangan pembeli, selain kekangan pasaran apabila tidak dapat merentas negeri seperti Terengganu dan Pahang.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan harga timun batang turun secara mendadak kepada hanya 50 sen sehingga RM1 sahaja untuk sekilogram, berbanding sebelum ini yang harganya mencecah RM4 sekilogram.

“Kami seolah-olah hilang mata pencarian kerana mengharapkan kepada hasil tanaman, malah untuk menyelesaikan masalah ini, kami cuba mencari inisiatif lain dengan menjual sendiri timun di kampung-kampung dan berniaga melalui dalam talian tetapi lambakan tetap berlaku,” katanya.

Nik Azani pula berkata dengan tiada hasil jualan itu, ia memeritkan apabila terpaksa menghabiskan hampir RM4,000 sebulan untuk kos baja dan racun bagi memastikan timun yang dikeluarkan berkualiti tinggi.

Menurutnya, masalah lambakan sayur juga berlaku kepada tanaman lada solok yang diusahakan sebelum ini, namun mereka mengambil keputusan memberhentikannya seketika sejak Mei lalu berikutan tidak mendapat sambutan di pasaran.

Sementara itu mengulas mengenai masalah tersebut, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya menyediakan khidmat bagi membantu mengatur pasaran dengan Rakan Pemasar FAMA di RTC dan outlet-outlet FAMA di Kelantan selain membuat lawatan terus di ladang.

“Selain itu, FAMA turut menawarkan jualan secara promosi terus dari ladang di lot RTC Kelantan bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

“Kami cuba membantu petani dan mereka yang memerlukan khidmat pemasaran dari FAMA, boleh menghubungi terus Pejabat FAMA berdekatan atau Bilik Gerakan FAMA Negeri Kelantan di talian 012-3684203  atau 012-3680125,” katanya.

— BERNAMA