Home Ekonomi MoF mudahcara perolehan dan peruntukan PICK

MoF mudahcara perolehan dan peruntukan PICK

Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan ia telah menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Malah, MoF juga meningkatkan peruntukan bagi perolehan vaksin dan PICK daripada RM3 billion (komitmen yang diumumkan pada hujung tahun 2020) kepada RM5.8 bilion seperti yang diumumkan melalui Pakej PEMULIH pada bulan Jun 202.

Selain itu, MoF juga memberi kelonggaran kepada KKM dan MOSTI untuk menguruskan perbelanjaan peruntukan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan MoF.

Penjelasan itu diberikan oleh Menteri Kewangan, Dtuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa menghadiri Mesyuarat Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Perolehan Vaksin COVID-19.

Jelas beliau, MoF telah bertindak menyediakan tatacara perolehan dan peruntukan bagi memudahcara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai objektif imunisasi lengkap bagi penduduk Malaysia menjelang bulan Oktober 2021.

Hadir sama, Datuk Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengurusan Tertinggi MoF.

Kementerian itu berkata, pihaknya juga memberi komitmen untuk terus memainkan peranannya menjayakan usaha PICK demi mencapai vaksinasi penuh penduduk dewasa dan selanjutnya membolehkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berfasa selaras dengan Pelan Pemulihan Negara. – MalaysiaGazette