Home Nasional Tiada kertas siasatan dibuka, polis nafi siasat doktor kontrak – Arjunaidi

Tiada kertas siasatan dibuka, polis nafi siasat doktor kontrak – Arjunaidi

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

KUALA LUMPUR – Tiada kertas siasatan dibuka terhadap mana-mana petugas kesihatan khususnya doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menafikan dakwaan pihaknya menyiasat petugas kesihatan termasuk merakam percakapan mereka yang berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

“Polis tidak mengesan sebarang kesalahan dalam perhimpunan itu malah tiada siasatan dibuat oleh pihak polis terhadap mana-mana petugas kesihatan yang terlibat dalam insiden itu.

“Kita pun tidak membuka kertas siasatan terhadap himpunan itu yang bertujuan menggesa kerajaan menyerap doktor kontrak sedia ada ke dalam perjawatan tetap.

“Sekarang isu itu dan dibawa ke Parlimen kononnya polis menjalankan siasatan ke atas doktor yang terlibat, itu tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media secara sidang video melalui Google Meet petang ini.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail mendakwa seorang doktor di MAEPS disoal siasat berhubung kes mogok aman doktor kontrak sehingga awal pagi.

Pemimpin PKR itu menasihati polis supaya jangan menjadikan doktor yang merawat pesakit Covid-19 sebagai penjenayah dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia, Asheeq Ali mendakwa seramai 12 doktor kontrak yang menyertai perhimpunan Hartal Doktor Kontrak di PKRC MAEPS Serdang telah diambil keterangan oleh polis tengah malam, pada Isnin.

Menerusi catatan di Twitter, beliau berkata, siasatan bermula jam 11.45 malam dan berakhir empat jam selepas itu.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok di seluruh negara pada Isnin lalu tidak akan dikenakan tindakan disiplin.

Menurutnya, doktor kontrak berkenaan berhak menyuarakan pandangan masing-masing sambil memaklumkan pihaknya menghormati kumpulan berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangan layan doktor rawat Covid-19 macam penjenayah – Saifuddin