Home Dunia Tokyo lepasi 3,000 kes Covid-19 untuk pertama kali

Tokyo lepasi 3,000 kes Covid-19 untuk pertama kali

Kes Covid-19 terus mengancam penduduk Tokyo. foto Agensi

TOKYO – Jumlah jangkitan Covid-19 di Tokyo merekodkan 3,177 kes untuk pertama kalinya dalam satu hari, kata kerajaan kota metropolitan Tokyo.

Angka ini adalah tertinggi ketika Tokyo sedang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020, sejak minggu lalu.

Ia merupakan kali kedua Tokyo merekodkan kes tinggi selepas  2,848 kes pada hari Selasa, mengatasi angka 2,520 pada 7 Januari lalu.

Oleh kerana virus ini merebak dengan cepat ke tempat lain, jumlah kes jangkitan harian di seluruh negara yang dilaporkan pada hari Selasa melebihi 7,000 untuk pertama kalinya sejak 12 Mei, menghampiri rekodnya sekitar 8,000 kes pada awal Januari.

Penganjur Olimpik telah berjanji untuk melakukan sekatan ketat untuk memastikan kejohanan sukan berlangsung dengan “selamat dan terjamin”.

Setakat ini jumlah kes jangkitan dalam kalangan atlet dan lain-lain yang berkaitan dengan acara sukan itu masih sangat rendah.

Gelombang kelima pandemik di Jepun dicetuskan oleh varian Delta, sekali gus memberi tekanan kepada hospital.

Jepun telah meletakkan Tokyo di bawah keadaan darurat keempat dari 12 Julai hingga 22 Ogos, dengan restoran dan bar perlu berhenti menawarkan alkohol dan operasi ditutup lebih awal.

Wilayah Tokyo yang berdekatan dengan Kanagawa, Saitama dan Chiba, yang kini berada di bawah sekatan kecemasan yang lebih longgar, juga menyaksikan puncak kes jangkitan.

Gabenor dari ketiga-tiga wilayah tersebut mempertimbangkan untuk meminta kerajaan mengisytiharkan darurat. – MalaysiaGazette