KUALA LUMPUR – Polis menahan 28 individu, termasuk empat warga China, dalam serbuan di tiga buah kondominium di Jalan Stonor, di sini, semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam serbuan pertama di tingkat 28 kondominium terbabit, polis menahan sembilan lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 17 hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan lanjut di unit berkenaan, kami merampas tujuh komputer dan CPU, 20 telefon bimbit serta satu jaringan tanpa wayar (wifi) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pasukannya meneruskan serbuan kedua di tingkat 12 bangunan sama yang membawa penangkapan enam individu tempatan termasuk lima wanita selain seorang wanita warga China berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Menurut Nasri, dalam serbuan kedua itu, pihaknya merampas enam komputer riba, 15 telefon bimbit dan satu kad akses rumah tersebut.
Ujarnya, polis meneruskan tindakan penguatkuasaannya dengan serbuan ketiga di di Tingkat 13A yang menyaksikan 11 orang termasuk dua warga China berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menerusi serbuan itu, kami berjaya melakukan rampasan barang iaitu lapan komputer dan CPU, sebuah komputer riba serta satu modem,” katanya.
Nasri berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan dipercayai beroperasi kira-kira dua minggu lalu dengan menyewa ketiga-tiga kondominium itu dengan kadar sewa sebanyak RM10,000 sebulan.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan juga disyaki diupah sindiket berkenaan dengan menawarkan gaji sebanyak RM2,000 sebulan untuk menjalankan kegiatan itu.
“Siasatan kami juga akan menjurus kepada kesalahan penipuan ‘money game’ selain kesalahan jenayah perjudian,” ujar beliau.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan sedang disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c) akta sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-MalaysiaGazette