Home Utama CUEPACS bantah cadangan pinda Akta Pencen 1980

CUEPACS bantah cadangan pinda Akta Pencen 1980

Adnan Mat Cuepacs RM1,800 minimum wage civil servants public sector
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah pindaan Akta Pencen 1980 bagi membolehkan pegawai perubatan kontrak diserap ke jawatan tetap.

Presidennya Adnan Mat berkata, pindaan akta berkenaan dibimbangi akan memberi kesan kepada penjawat awam secara keseluruhannya yang tidak lagi dapat memilih skim tetap berpencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, kerajaan wajar mempertimbangkan jalan penyelesaian lain termasuk meminda Akta Perubatan 1971.

“Pada dasarnya CUEPACS tidak bersetuju dengan cadangan untuk meminda Akta Pencen 1980 ini hanya semata-mata untuk membolehkan pelantikan kakitangan ke jawatan tetap dengan pilihan caruman KWSP dapat dilaksanakan.

“Ketika ini mana-mana pejawat awam yang ditawarkan ke jawatan tetap dalam perkhidmatan boleh memilik sama ada mahu mengambil skim berpencen atau skim caruman KWSP. Perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk ciapan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini yang berharap pasukan petugas khas diterajui Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti pindaan terhadap akta berkenaan bagi membolehkan pengambilan ke jawatan tetap dilakukan dengan pilihan caruman kepada KWSP dalam tempoh dua tahun untuk semua lanjutan kontrak yang diberikan kepada 23,000 doktor.

Adnan berkata, pindaan Akta Pencen 1980 sepatutnya tidak mengurangkan faedah yang diterima oleh penjawat awam dan pesara kerajaan kerana hanya akan menimbulkan isu pada masa akan datang.

Justeru kongres itu menggesa kerajaan  mempertimbangkan semula keputusan pindaan akta khususnya yang melibatkan isu pelantikan tetap tanpa pencen.

“CUEPACS tidak mahu apabila perkara ini dipersetujui kelak akan wujudnya perkara-perkara berbangkit seperti membuat perbandingan dengan penjawat awam yang berstatus berpencen.

“Bagi sektor kesihatan terutama dalam kalangan doktor mungkin sesuai kerana mereka mempunyai peluang yang besar untuk keluar daripada sektor pekerjaan dan bertugas di sektor swasta dengan tawaran gaji lebih lumayan.

“Dalam hal ini bukan hanya kebajikan sesetengah pekerja sahaja harus diperjuangkan kerana lebih ramai penjawat awam lain berhak mendapat perhatian yang sama,” tambahnya.-MalaysiaGazette