Home Ekonomi Had statutori hutang akan dinaikkan

Had statutori hutang akan dinaikkan

unemployment rate MCO 3.0 MCO 1.0 Finance Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz PIX: MalaysiaGazette
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengusulkan pindaan terhadap had statutori hutang pada Sidang Dewan Rakyat penggal hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, paras statutori hutang negara sudah menghampiri had maksimum iaitu 60 peratus.

Katanya, setakat akhir Jun lalu, paras hutang statutori telah mencecah 56.8 peratus.

“Dengan ruang fiskal yang terhad, kerajaan tiada pilihan selain mengoptimumkan sumber pembiayaan sedia ada melalui rasionalisasi perbelanjaan, peningkatan hasil daripada ekosistem kerajaan termasuk penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Wang Amanah Negara (KWAN) serta bersedia meningkatkan had siling Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19).

“Dalam masa yang sama, kerajaan bersedia melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara,” katanya semasa sesi pembentangan Menteri Kewangan, Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Pada 24 Ogos tahun lepas, Parlimen meluluskan pindaan had statutori hutang negara kepada 60 peratus berbanding 55 peratus sebelum ini melalui Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan [Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)] 2020.

Akta berkenaan dikuatkuasakan bermula pada 27 Februari 2020 hingga 31 Disember 2022.- MalaysiaGazette