Home Nasional Kekuatan SPN ditambah bagi percepat agihan Bakul Prihatin Negara – Rina

Kekuatan SPN ditambah bagi percepat agihan Bakul Prihatin Negara – Rina

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun meyantuni penduduk, Suriani Yunus, 55 selepas menghulurkan bantuan Bakul Prihatin Negara ketika di Flat Taman Maluri, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menambah jumlah kekuatan Skuad Prihatin Negara (SPN) kepada 13,592 orang bagi mempercepatkan kerja-kerja agihan Bakul Prihatin Negara (BPN).

Jumlah SPN sedia ada seramai 5,134 orang dan dengan pertambahan tersebut menjadikan jumlah kekuatan keseluruhan yang digerakkan ketika ini adalah seramai 18,726 orang.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penambahan kekuatan SPN itu adalah berdasarkan keperluan untuk mengagihkan BPN dalam kadar segera.

“Kita telah melakukan tindakan intervensi untuk menambah kekuatan tambahan SPN sedia ada dengan membabitkan sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat seramai 9,876 orang, sukarelawan khidmat bantu di rumah seramai 2,035, skuad Waja membabit 1,281 orang dan sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembanguna Keluarga Negara seramai 400 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ihsan dan menyantuni tiga penerima Bakul Prihatin Negara di Flat Taman Maluri, Cheras hari ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, BPN bukan sekadar inisiatif mengagihkan barangan keperluan tetapi dalam masa sama menjadi pencetus untuk meneroka isu-isu yang terjadi dalam kalangan masyarakat atau keluarga tersebut.

“Kita juga bawa sekali kaunselor, seperti tadi ada seorang ibu tunggal yang tinggal berseorangan maka dia perlukan orang untuk bercakap dengannya.

“Selepas itu kita juga akan susuli dengan khidmat bantu di rumah untuk turut sama menyantuni golongan tersebut,” ujarnya.

Tambah Rina lagi, sehingga semalam, sebanyak 342,432 permohonan BPN diterima dengan Selangor mencatatkan permohonan tertinggi iaitu sebanyak 81,182 permohonan manakala Kuala Lumpur sebanyak 19,524 permohonan.

Jelas beliau, sebanyak 28,983 BPN telah diagihkan dan memberi manfaat kepada 103,549 penerima. – MalaysiaGazette