Home Politik Kembalikan kuasa kepada Parlimen, Agong – Syed Saddiq

Kembalikan kuasa kepada Parlimen, Agong – Syed Saddiq

MUDA Melaka state election wasted opportunity #KerajaanGagalLagi #KerajaanGagal2.0 #KabinetGagal2.0 UMNO Ismail Sabri Yaakob new cabinet Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Tindakan secara tiba-tiba membatalkan atau memendekkan sidang Parlimen jelas salah dan bercanggah dengan Perlembagaan, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Yang penting, saya rasa kembalikan semula kuasa kepada Parlimen dan rakyat, biar rakyat tentukan,” jelasnya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini Sidang Khas Parlimen hari ini.

Sebelum itu, sidang Dewan Rakyat ditangguhkan selepas isu titah Yang Di-pertuan Agong yang kecewa dengan sikap kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenannya.

Justeru, Syed Saddiq yang juga pengasas Parti Muda beranggapan mengikut peraturan sedia ada, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli Kabinetnya perlu meletakkan jawatan serta merta dan mengembalikan kuasa kepada Parlimen dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang DiPertuan Agong.

Sementara itu, pemantauan MalaysiaGazette di Jalan Parlimen mendapati kebanyakan kenderaan rasmi kementerian dan media rasmi seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak dibenarkan masuk  selepas pengumuman penangguhan sesi kira-kira 5.15 petang.

Ada antara kenderaan tersebut diminta berpatah balik dan dilencongkan oleh anggota polis yang bertugas di lokasi.

Malah ada beberapa ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Syed Saddiq  dilihat berjalan kaki keluar sehingga ke SJR Jalan Parlimen yang terletak kira-kira 200 meter dari pintu masuk utama bangunan berkenaan.

Mereka kemudiannya menaiki kenderaan yang menunggu di tepi Jalan Lebuhraya Sultan Iskandar.

Sementara itu, lalu lintas di Jalan Parlimen juga sibuk namun dikawal anggota polis sejurus sesi Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan pukul 5.30 petang tadi.

Sewaktu berlangsung sesi petang Persidangan Khas Dewan Rakyat sebentar tadi, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menerima surat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkenaan dua kes positif Covid-19 baru dikesan di perkarangan kawasan Parlimen. – MalaysiaGazette