Home Nasional Kenderaan bawa TPM keluar dari kediaman Muhyiddin

Kenderaan bawa TPM keluar dari kediaman Muhyiddin

Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keluar dari kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan khas di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa Menteri Kabinet berkumpul di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara hari ini.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam yang membawa Ismail Sabri itu dilihat meninggalkan kediaman Muhyiddin pada pukul 5.22 petang.

Selang beberapa minit, kenderaan yang membawa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa turut beredar.

MalaysiaGazette difahamkan pertemuan di kediaman Muhyiddin itu berlangsung sejak tengah hari tadi turut disertai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan beberapa menteri lain.

Terdahulu petugas media daripada pelbagai agensi mula berkampung di pintu masuk kediaman Muhyiddin di Jalan Setia Bakti 5 sejak pukul 1 tengah hari.

Beberapa anggota polis yang berada di lokasi turut menasihati petugas media untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pertemuan di kediaman Muhyiddin hari ini dipercayai berkait rapat dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini.

Menerusi kenyataan tersebut, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja menzahirkan rasa amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana belum mendapat perkenan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menegaskan, baginda turut menzahirkan perasan sama kerana apa yang telah diperkenan dan dititah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan. – MalaysiaGazette