Home Nasional Pilihan terbaik PM adalah berundur diri – Najib

Pilihan terbaik PM adalah berundur diri – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan pilihan terbaik yang boleh diambil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini adalah dengan meletakkan jawatan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Muhyiddin harus mengambil tanggungjawab atas kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat.

“Saya secara peribadi bahawa Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku sebagai ketua kerajaan.

“Saya pernah menjadi ketua kerajaan selama sembilan tahun dan saya tahu bahawa utusan ini antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Pilihan terbaik adalah berundur secara kehormat kerana ini adalah satu yang mencerminkan PM ambil tanggungjawab atas apa yang telah dan atas nama kerajannya,” kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Kata Najib, pendirian yang diambil itu adalah pendekatan sebagai ahli Parlimen dan bukan secara peribadi.

“Pendirian saya adalah berdasarkan prinsip dalam urusan kerajaan terutama sekali kerajaan dengan mencerminkan demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan.

“Inilah cara kita mengendalikan sistem ini sebab kalau ada percanggahan yang begini genting antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong maka kita terpaksa cari jalan untuk penyelesaian daripada keadaan yang begitu serius ini,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Najib berkata, ia terserah kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menilai sesiapa yang mempunyai majoriti untuk mengisi kerusi Perdana Menteri.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menamakan orang lain yang pada pendapat baginda boleh mendapat majoriti daripada kalangan ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Jelasnya, beliau berpendapat partinya UMNO agar terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tentang jawatan Perdana Menteri ada pendapat yang berbeza atas ini,” katanya.

Ditanya samada akan menyokong usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, Najib berkata; “Kita tengoklah kalau ada usul nanti, saya akan tentukan pendirian nanti. – MalaysiaGazette