KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk meneruskan pentadbiran kerajaan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan politik sejak akhir-akhir ini.
Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat diharapkan dapat bertenang dan beliau memberi jaminan kemelut politik negara akan berakhir dalam masa terdekat.
“Saya menjunjung akan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini.
“Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli-ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada Isnin bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.
Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan. – MalaysiaGazette
Bukti kan laaa Pak Mail…sembang jer ko ni