Home Nasional Wanita dakwa petugas kesihatan cucuk jarum tapi tidak suntik vaksin

Wanita dakwa petugas kesihatan cucuk jarum tapi tidak suntik vaksin

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tampil mendedahkan pengalaman mendukacitakan ketika menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) pagi semalam.

Wanita yang menggunakan akaun media sosial ‘diyanahmaria’ itu memberitahu, pada jam 9.30 pagi Rabu telah beliau telah melalui proses vaksinasi di PPV berkenaan.

Malangnya petugas kesihatan yang menyuntik vaksin Covid-19 itu tidak menekan picagari yang telah diisi cecair vaksin ketika melakukan suntikan biar pun jarum telah dicucuk ke lengan wanita berkenaan.

Kecewa dengan tindakan itu, dia telah membuat aduan dengan menunjukkan rakaman video tersebut.

Katanya, petugas kesihatan itu mendakwa tidak perasan dan dia kemudian diberi satu lagi suntikan.

Wanita berkenaan melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana tindakan seumpama itu boleh menjejaskan keselamatan penerima vaksin.

Dia turut berkongsi hantarannya itu kepada laman sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 @jkjavmy. – MalaysiaGazette