Home Dunia Covid-19: Phuket larang pelancong domestik masuk

Covid-19: Phuket larang pelancong domestik masuk

Pantai Phuket

BANGKOK – Phuket akan mengenakan larangan masuk kepada pelancong domestik dari wilayah lain di negara ini bermula 3 hingga 16 Ogos, untuk membendung penularan COVID-19.

Namun, arahan terbaharu yang ditandatangani Gabenor Phuket, Narong Woonciew itu  tidak melibatkan pelancong antarabangsa yang memasuki pulau berkenaan di bawah inisiatif “Phuket Sandbox”.

Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan Kementerian Luar Pensom Lertsithichai berkata, pelancong domestik dari wilayah lain, dilarang masuk sama ada melalui jalan udara, laut atau darat.

Katanya, untuk tujuan menghantar barangan keperluan, produk pertanian, bekalan perubatan serta pelajar, dibenarkan masuk ke pulau itu dengan syarat lengkap divaksin dan negatif ujian COVID-19.

Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) akan memantau rapat keadaan COVID-19 di Phuket, kata Pensom pada taklimat COVID-19 di sini hari ini.

“Kami berharap langkah-langkah ini dapat membantu mengekang penularan wabak di pulau ini,” katanya.

Sementara itu, Narong turut mengarahkan penutupan premis dan tempat yang dianggap berisiko termasuk pusat snooker, bar biliard atau kedai dan meja pool, semua sekolah seni mempertahankan diri dan sekolah tinju, pusat permainan, kolam renang juga akan ditutup bermula hari ini hingga 1 Ogos.

Awal minggu ini, beliau juga mengarahkan semua institusi pendidikan tempatan ditutup hingga 16 Ogos selain pusat beli-belah dan tempat sukan ditutup sehingga 2 Ogos.

Arahan itu turut melarang perhimpunan awam melebihi 100 orang yang berkuat kuasa sejak Selasa.

Dalam usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongannya yang terjejas, Thailand melancarkan “Phuket Sandbox” bermula 1 Julai lalu, membolehkan pelancong asing dari negara berisiko rendah dan sederhana memasuki pulau itu selepas disahkan negatif COVID-19 semasa ketibaan.

Selain itu, pelancong yang lengkap divaksin tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari tetapi harus tinggal di pulau itu selama dua minggu sebelum melakukan perjalanan ke wilayah lain di negara ini.

Sejak Phuket membuka semula pintunya, sejumlah 12,599 pelancong asing lengkap divaksin memasuki pulau itu dengan 30 daripadanya disahkan positif COVID-19 pada 29 Julai. Sebanyak 298,858 bilik penginapan telah ditempah hingga September.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Kajornsak Kaewjaras menyatakan jabatan itu akan memantau keadaan COVID-19 di pulau itu selama dua minggu.

Beliau berkata terdapat sembilan kluster aktif di Phuket dan pihak berkuasa kesihatan telah mengesan semua yang dijangkiti.

“Kami memerlukan dua minggu lagi untuk menilai keadaan dan melihat jumlah pesakit sebelum memutuskan apakah inisiatif tersebut wajar diteruskan,” katanya seperti dipetik Bangkok Post.

“Phuket Sandbox” berisiko ditangguhkan sekiranya jumlah kes COVID-19 melebihi had ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak 90 kes setiap minggu.

Media tempatan melaporkan peningkatan kes COVID-19 disebabkan ramai yang memasuki pulau itu untuk mencari pekerjaan sejak ia dibuka untuk perniagaan. – MalaysiaGazette