Home Nasional Lelaki maut, rakan parah dilanggar ketika tukar tayar

Lelaki maut, rakan parah dilanggar ketika tukar tayar

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika kedua-duanya dipercayai sedang menukar tayar kereta di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam (Arah Skudai), semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid berkata kejadian berlaku pada kira-kira 11.15 pagi dengan kedua-duanya yang berusia 55 dan 40 tahun menaiki kereta Proton Waja dari arah bandar raya Johor Bahru menghala ke Skudai.

“Dipercayai tayar hadapan sebelah kanan kereta yang dipandu si mati pecah dan menyebabkan dia memberhentikan kenderaannya di lokasi kejadian iaitu di lorong tengah jalan sebelum menukar tayar dengan dibantu rakannya.

“Sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun yang melalui jalan tersebut kemudian tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, si mati mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali keluarga kedua-dua mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ong Jing Siong di talian 011-16490168 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122, katanya. – Bernama