KUALA LUMPUR – Petugas barisan hadapan di fasiliti kesihatan yang dijangkiti Covid-19 meskipun setelah menerima dua dos suntikan vaksin, majoritinya tidak bergejala (Kategori 1) atau hanya menunjukkan gejala ringan (Kategori 2).
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, sehingga kini 4,761 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada keseluruhan 246,242 yang divaksin sepenuhnya, dijangkiti wabak itu.
“Oleh kerana petugas ini bekerja dalam keadaan yang amat berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, maka jangkitan tetap boleh berlaku meskipun selepas mereka lengkap divaksin dengan dua dos suntikan.
“Cuma bezanya dengan vaksinasi lengkap terhadap petugas kesihatan ini yang hari-hari terdedah dengan jangkitan, ia dapat mencegah mereka daripada mendapat jangkitan wabak yang teruk dan dalam kategori serius,” katanya dalam sesi pembentangan mengenai vaksin Covid-19 bersama media secara maya.
Beliau berkata 1,494 petugas berada di kategori satu manakala 3,256 pula di kategori dua.
“Jadi kita hendak keadaan yang sama dapat kita beri kepada rakyat… sekiranya mereka divaksin dan kemudiannya terdedah dengan virus Covid-19, mereka akan dapat dicegah daripada mendapat penyakit itu dalam kategori serius sekiranya dijangkiti,” katanya.
Sementara itu Dr Hishamshah berkata Labuan yang sebelum ini mencatatkan angka positif yang sangat tinggi, kini menyaksikan hanya dua pesakit berada di ICU setelah proses pemberian vaksin di Wilayah Persekutuan itu dipertingkatkan.
“Keadaan sama dapat kita lihat di Sarawak, dengan keadaan sekarang jumlah pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin berkurang, apabila kadar vaksinasi di negeri itu mulai ditingkatkan.
Beliau turut memberi bayangan bahawa beberapa kelonggaran akan diberikan termasuklah aktiviti rentas negeri, sekiranya negara berjaya mencapai imuniti kelompok yang dijangka pada Oktober tahun ini.
Beliau berkata mengikut pengalaman negara luar, apabila seseorang itu telah lengkap divaksin dan negara hampir mencapai imuniti kelompok, mereka berkemungkinan boleh merentas negara, daerah dan sebagainya.
“Kita perlu bergerak, perlu kembali kepada keadaan normal, sekurang-kurangnya kita boleh meneruskan kehidupan serta perhimpunan sosial dan sebagainya dalam norma baharu, namun ini hanya akan dapat dicapai sekiranya kadar vaksinasi dalam komuniti kita terus tinggi, jadi kita mahu orang ramai terus divaksin secepat mungkin, supaya kita boleh bergerak ke peringkat berikutnya,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Hishamshah berkata jumlah kes baharu tidak akan turun secara mendadak, malah ia akan berterusan untuk beberapa hari, namun dengan kadar vaksinasi yang meningkat dan pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP), rantaian Covid-19 akan dapat diputuskan.
Sementara itu beliau berkata KKM sedang merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang ‘self-sufficient’ dalam pembangunan vaksin agar negara tidak perlu bergantung dengan vaksin keluaran negara luar.
“Buat masa ini negara sedang membangunkan dua jenis vaksin Covid-19 iaitu menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) dan teknologi Virus Ternyahaktif di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya.
Dr Hishamshah berkata KKM menjangkakan dalam seminggu ini, negara akan dapat mencapai kadar vaksinasi sebanyak 40% untuk dos pertama.
Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kapasiti pemvaksinan yang ditingkat dan dimantapkan sehingga menyaksikan lebih 500,000 suntikan mampu diberikan dalam sehari di seluruh negara.
“Kita boleh katakan bahawa kita telah melaksanakan proses vaksinasi dengan baik, walaupun kita perlu akui bahawa di peringkat awal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) permulaan agak perlahan. Ia bukan kerana kita teragak-agak untuk mevaksin, tapi disebabkan isu bekalan vaksin ketika itu, malah ketika ini juga bekalan vaksin masih belum mencukupi untuk seluruh dunia,” katanya.
“Namun sekarang jika kita bandingkan Malaysia dengan negara jiran dan juga seluruh dunia, termasuk Australia dan Jepun dari segi kadar vaksinasi per kapita, laman web Our World in Data baru-baru ini menunjukkan bahawa kadar vaksinasi di Malaysia sebenarnya adalah yang tertinggi,” katanya.
Dr Hishamshah berkata negara memang berhasrat meningkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin, tetapi ia banyak bergantung kepada bekalan seluruh dunia yang masih lagi belum mencapai tahap yang diharapkan lagi. – MalaysiaGazette