Home Nasional Mohd Hafarizam bebas tuduhan penggubahan wang haram RM15juta

Mohd Hafarizam bebas tuduhan penggubahan wang haram RM15juta

Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun hadir ke mahkamah bagi berhadapan dengan dua pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM15 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun hari ini dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM15 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Mohd Hafarizam yang juga merupakan peguam terkenal telah diarahkan membayar kompaun sebanyak RM590,587.26 .

Pihak pendakwaan bersetuju menarik balik ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam dan bersetuju menawarkan kompaun kepadanya.

Kompaun itu juga telah dibayar tertuduh petang semalam.

Kompaun itu dibuat mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfapua).

Hakim Suzana Hussin kemudian memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh dari pertuduhan tersebut.

Tertuduh diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Hasnal Rezua Merican, Datuk M. Reza Hassan, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, Amin Othman dan Muzammil Merican.

Manakala barisan pendakwaan pula terdiri daripada dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Ishak Mohd. Yusoff dan Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.

Ketika menemui media di lobi mahkamah, Mohd Hafarizam melahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini.

Peguam mewakili Mohd Hafarizam, Hasnal Rezua mendedahkan, memandangkan kompaun telah dibayar bermakna tiada pertuduhan baharu yang boleh dikenakan terhadap peguam tersebut.

Mohd. Hafarizam kini bebas daripada semua tuduhan pengubahan wang haram yang mengaitkannya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 3 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) peguam tersebut daripada dua pertuduhan pengubahan haram berjumlah RM15 juta. – MalaysiaGazette