KUALA LUMPUR – MRT Corp telah menerima beberapa cadangan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) untuk projek MRT3 Circle Line selepas mengadakan sesi taklimat projek berkenaan pada bulan April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, MRT Corp masih membuat penilaian kebaikan skim PFI.
“Oleh kerana itu, MRT Corp perlu meminda garis masa untuk proses tender pakej pertama projek. MRT Corp akan mengumumkan tarikh baru untuk tender tersebut pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Zarif mengatakan proses Permintaan Maklumat (RFI) yang bermula pada 9 April 2021 telah selesai.
Lebih daripada 40 penyerahan oleh pemain utama industri pembinaan di Malaysia telah diterima setelah tempoh penyerahan berakhir pada 25 Mei 2021.
“Kami telah berhubung dengan pemain-pemain yang terlibat dalam proses RFI tersebut dan kami telah memberi maklum balas mengenai maklumat yang diberikan,” katanya.
Proses RFI, tambahnya, membolehkan MRT Corp mengukur minat, kapasiti dan kemampuan pemain-pemain tempatan industri pembinaan bagi projek tersebut.
Maklumat tersebut juga akan membantu MRT Corp dalam mewujudkan struktur terbaik untuk projek ini. – MalaysiaGazette