GEORGE TOWN – Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang sedia membela nasib mereka yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pihaknya sedia memberi pendidikan dan pengurusan diri yang sewajarnya kepada mereka yang turut terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan.
Jelas beliau, pihaknya terkesan dengan laporan media mengenai nasib kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa khususnya akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
“Kita lihat saban hari menerusi laporan media mengenai anak yang masih kecil kehilangan ibu bapa akibat pandemik selain pelbagai kejadian kemalangan menyebabkan mereka menjadi yatim piatu sekelip mata.
“Justeru, bagi memastikan keselamatan dan masa depan anak yatim terjamin dan tidak terbiar, kita juga membantu memberi pendidikan kepada mereka di sekolah kerajaan hingga ke peringkat universiti.
“Kita mengalu-alukan anak-anak yatim dari seluruh negara khususnya dari negeri-negeri di wilayah utara sekiranya mereka berhasrat untuk menjadi penghuni asrama persekutuan di negeri ini,” katanya pada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Jalan PEMENANG di sini, hari ini.
Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang adalah antara 68 asrama di seluruh negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Seluruh Malaysia (Peyatim).
Setakat ini, seramai 5,000 anak yatim dan miskin sudah ditempatkan di semua asrama pertubuhan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Yussof turut menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau kemasukan anak yatim khususnya di institusi yang tidak berdaftar.
“Kita bimbang institusi yang tidak berdaftar ini mengambil kesempatan terhadap anak yatim berkenaan.
“Justeru kita harap golongan sebegini ditempatkan di asrama yang berdaftar dengan JKM,” ujar Mohd Yussof.
Bagi penempatan anak yatim, orang ramai boleh menghubungi persekutuan berkenaan di talian 04 828 8897 atau 04 229 7355. – MalaysiaGazette