KUALA LUMPUR – Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara perlu bertanggungjawab atas kerosakan yang diterjemahkan secara salah yang bertentangan dengan Perlembagaan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hendaklah berbuat sesuatu mengenainya.
“Rakyat Malaysia sudah tidak mampu mendengar maklumat yang mengelirukan terarah kepada kemusnahan kepercayaan dan harapan tinggi yang diberikan, apatah lagi keadaan negara yang masih gundah-gulana.
“Sewajibnya kerajaan Perikatan Nasional meneruskan misi keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang lebih diyakini dengan membentangkan pelan pemulihan ekonomi lebih jelas, bantuan rakyat lebih adil serta kejujuran kepimpinan lebih telus,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau merujuk kepada krisis Perlembagaan yang berlaku ekoran pembatalan Ordinan Darurat yang dilakukan kerajaan tanpa restu Istana Negara baru-baru ini.
“Pada hemat saya, Perdana Menteri tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujar Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu.- MalaysiaGazette