KUALA LUMPUR – Para penghuni Apartmen Melur dekat Sentul Perdana di sini membantah sekeras-keras langkah pihak tertentu yang mahu menjadikan dewan komuniti bersebelahan kawasan kediaman mereka sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette merayu agar pihak berkenaan mencari lokasi lain yang lebih sesuai untuk dijadikan pusat tersebut.
Alasan mereka, dewan yang mahu digunakan sebagai pusat berkenaan terlalu hampir dengan kediaman dan hanya dipisahkan oleh sekeping tembok.
Difahamkan, sebelum ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan Dewan Sri Delima yang terletak tidak jauh dari apartment berkenaan sebagai CAC dan kini mahu memindahkannya ke dewan berhampiran kawasan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Penghuni Apartment Melur, Muhammad Rizuan Hamzah berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan pihak tertentu untuk menjadikan dewan komuniti tersebut sebagai CAC.
Katanya, ramai dalam kalangan penghuni bimbang akan berdepan dengan risiko jangkitan Covid-19 memandangkan kawasan tersebut yang sesak danĀ tidak sesuai untuk dijadikan pusat penilaian risiko khusus mengesan mereka yang dijangkiti pandemik tersebut.
Ujarnya, rata-rata penghuni juga terkejut setelah dimaklumkan bangunan dewan komuniti yang jaraknya tidak sampai 200 meter daripada kawasan kediaman mereka mahu dijadikan sebagai CAC.
“Bukan kami mahu menghalang usaha kerajaan terutama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang mahu memberi khidmat bagi merawat mereka yang dijangkiti Covid-19.
“Tetapi, apa yang kami mahu adalah supaya suara penghuni-penghuni di apartmen ini didengar dan diberikan perhatian kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan kami semua di sini.
“Kami tidak mahu apa yang berlaku baru-baru ini di kawasan perumahan di Taman Sri Andalas, Klang di mana CAC dibangunkan di kawasan mereka berlaku di kawasan kediaman kami di sini,” tegasnya yang mencadangkan agar CAC tersebut menggunakan stadium di Taman Tasik Titiwangsa yang jauh dari penempatan penduduk.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Apartmen Melur, Zulkiflie Mat pula berkata, para penghuni turut membuat bantahan berhubung perkara itu menerusi borang di internet.
Menurutnya, sudah lebih 200 bantahan dibuat daripada penduduk setempat dan jumlah itu dijangka bertambah lagi, malah laporan polis turut dibuat memgenainya.
“Kalau dewan ini dijadikan sebagai pusat CAC dah tentunya ia akan menjadi tempat tumpuan pesakit Covid-19 yang datangnya dari kebanyakan tempat. Keadaan itu sememangnya membahayakan nyawa kami penghuni apartment ini.
“Mereka itu nanti akan menaiki LRT dan sudah tentunya ia akan mendatangkan masalah kepada kami semua di sini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk, V. Parithevar
berkata, penghuni apartmen itu rasa terancam selepas menerima makluman dewan bersebelahan kediaman mereka mahu dijadikan sebagai CAC.
Katanya, pada masa ini keadaan di sekitar jalan ke apartmen tersebut sudah sesak dengan kenderaan lalu lalang mahupun yang memakir di sepanjang jalan dan ditambah pula dengan orang ramai yang keluar masuk ke pusat krematorium berhampiran kediaman mereka.
“Sekarang ini pun banyak kes kematian berkaitan Covid-19 dibawa ke pusat krematorium di sini. Keadaan jalan sememangnya tidak terkawal dengan kenderaan.
“Bila dewan itu nanti dijadikan sebagai CAC Covid-19 sudah tentulah ia akan lebih menyesakkan lagi keadaan di sini,”
katanya yang memberitahu mengetahui mengenai perkara itu sejak tiga hari lalu. – MalaysiaGazette