Home Seni Hidup Ryan Deedat terkilan tiada di sisi Nur Intan meninggal dunia

Ryan Deedat terkilan tiada di sisi Nur Intan meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Seorang penyanyi baharu, Ryan Deedat atau Sheikh Eamir Deedat terkilan tidak sempat bersama-sama adik bongsunya yang meninggal dunia akibat barah otak akibat halangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Allahyarham Sharifah Nur Intan Sheifeeka meninggal dunia pukul 8.15 pagi pada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 Julai lalu.

Allahyarham yang berusia 25 tahun dan merupakan anak bongsu dari 11 adik beradik mereka.

Bagi Ryan, berita kematian adiknya bagai ‘halilintar membelah bumi’ kepadanya sekeluarga tidak dapat bersama-sama dengan arwah pada saat-saat akhir.

Penyanyi, Ryan Deedat mengenai kematian adik bongsunya, Sharifah Nur Intan Sheifeeka akibat barah otak di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2021.

“Adik saya baru sahaja masuk hospital pada dua bulan lepas masa mula-mula dapati dia mengadu kepada saya masa dia sakit kepala yang teruk dan cuba bawa dia pergi ke klinik dulu dan tiada perubahan, jadi kita bawa ke hospital PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya), bawa ke bahagian klinik mata ingat sakit mata tapi tiada ada masalah dengan mata dia,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tambah Ryan, sepanjang proses pengesanan masalah kesihatan untuk arwah memakan masa yang agak lama susulan lonjakan kes Covid-19 yang tinggi di kebanyakan hospital termasuk PPUM.

“Disebabkan keadaan pandemik sekarang, adik saya terpaksa buat CT scan di luar dan bukan di PPUM sebab kes di PPUM terlalu banyak dan terlampau penuh sampai kena tunggu dua minggu dan doktor kata terlalu lama.

“Jadi saya ambil keputusan buat di KPJ untuk buat CT scan dan dapati ada tumor di kepala sebesar bola golf dan beberapa kali bawa ke hospital dan makan ubat, dia okay tapip kita cuba nak dapatkan slot MRI pun satu hal juga dan tiada slot buat MRI yang paling cepat adalah seminggu lebih daripada tarikh sepatutnya.

“Jadi kami tunggu untuk MRI, jadi adik melalui proses yang melambatkan untuk dia melakukan proses berkenaan,” katanya lagi.

Selepas melalui beberapa proses itu, pada 17 Jun lalu adiknya telah melalui proses biopsi iaitu mengambil sampel barah kemudian disahkan menghidap barah tahap empat.

Susulan itu, Ryan mengambil keputusan untuk membuat proses pembedahan adiknya di HKL kerana tidak memerlukan kos yang tinggi seperti di PPUM.

Apabila tiba di HKL, katanya, arwah didapati mengalami (hydrocephalus) air berlebihan di kepala dan pembedahan yang dipanggil shunting telah dilakukan dengan segera.

Namun, katanya, selepas pembedahan, Ryan terkilan kerana tidak dapat melawat adiknya dan hanya bersemuka secara maya jika petugas kesihatan membuat panggilan telefon.

“Saya dengan adik saya jaga mak saya dan dia strok dan tak dapat jumpa adik saya buat saya sedih sebab adik saya memerlukan sokongan, sebab adik saya ini seorang yang hati lembut, pemalu dan perlu sokongan.

“Tumor otak dia bukan biasa, yang agresif, jadi dia perlukan sokongan dan saya amat terkilan tidak dibenarkan untuk lawat adik saya sendiri walaupun telah beberapa kali saya mengatakan boleh melakukan swab test, pakai PPE.

“Saya bukan nak salahkan siapa-siapa tapi mungkin boleh ada perubahan dalam SOP tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Ryan juga dimaklumkan yang mana sepatutnya pada 12 Julai lalu, adiknya perlu menjalani operasi debulking for brain namun ia ditangguhkan sehingga susulan petugas kesihatan disahkan positif Covid-19.

Situasi itu membuatkannya lebih terkilan kerana jika pembedahan itu mengikut jadual, keadaan itu mungkin boleh menyelamatkan adiknya.

Difahamkan sepanjang menunggu tempoh penangguhan pembedahan itu, arwah telah mengalami jangkitan di otak akibat shunting pertama.

“Saya rasa kat situ terkilan. Sebab adik saya, sebabkan SOP macam ini. Adik saya ada beritahu tahu jururawat yang selalu telefon, adik saya selalu sebut nama saya sebab saya tahu sejak dia di kolej sampai graduasi, saya selalu ada di sisi

“Kita tak dapat video call cuma abang dapat sebab ada kecemasan. Emak langsung tak jumpa dah sebab angin ahmar sebulan lepas, hari-hari emak menangis setiap malam sebab itu anak kesayangan dia, masa pagi dia meninggal, cuaca redup dan hujan sekejap, jururawat pun pelik masa dia meninggal.

Bagaimanapun, Ryan sekeluarga redha dengan pemergian arwah susulan situasi pandemik yang menjadi kekangan keadaan dan hanya mampu membawa ibunya yang mengalami diserang angin ahmar melawat arwah ketika jenazah sedang dimandikan. – MalaysiaGazette