KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat hari terakhir yang sepatutnya berlangsung Isnin ini ditangguhkan pula ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Vacha Mydin berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk mengemukakan pemberitahuan itu kepada ahli-ahli Parlimen.
Terdahulu, Sidang Khas Dewan Rakyat pada Khamis lepas tertangguh empat kali susulan beberapa perkara yang tidak dijangka berlaku.
Sidang khas yang masuk hari keempat sepatutnya menumpukan perbahasan terhadap pakej rangsangan ekonomi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tanpa jawapan balas atau penggulungan sidang itu akhirnya ditangguhkan ke Isnin depan oleh Mohd Rashid yang ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan. – MalaysiaGazette
Haaa spt yg telah dijangka kan