Home Sukan Sri Pahang harap gandingan Abdul Malik, Hidalgo

Sri Pahang harap gandingan Abdul Malik, Hidalgo

Manuel Hidalgo (kanan).

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh berharap gandingan penyerang, Abdul Malik Mat Arif dan Manuel Hidalgo akan terus memberi impak menjelang perlawanan Liga Super menentang PJ City FC selepas mereka seri dalam dua aksi terdahulu.

Dollah tidak menolak dua pemain tersebut menjadi nadi utama kepada pasukan untuk memberi kekuatan dalam meledak jaringan sepertimana yang dilakukan dalam aksi berdepan Melaka United FC dan Sabah FC tempoh hari.

Bahkan, beliau percaya gandingan Malik dan Hidalgo akan sekali lagi dapat memberikan sesuatu berdepan PJ City esok dalam usaha untuk meraih tiga mata selain mengharapkan satu pasukan perlu elak kesilapan pada minit akhir yang boleh membawa kepada kekalahan atau keputusan seri.

Apatah lagi ketika ini, Sri Pahang masih lagi perlu merehatkan pemain tengah, Abu Bakar Yakubu yang berdepan kecederaan buku lali sewaktu berdepan Melaka tempoh hari.

“Kalau nak bercakap pasal prestasi, mereka semakin mantap cuma macam biasa kita sentiasa cuai dan leka pada minit-minit akhir.

“Bahkan, saya berpuas hati dengan apa yang telah ditonjolkan mereka dalam dua perlawanan sebelum ini, cuma kelekaan itu yang membuatkan kita seri.

“Kali ini, saya harap mereka dapat kekalkan prestasi terutamanya gandingan di hadapan iaitu Malik dan Hidalgo kerana kalau kita tengok aksi sebelum ini, pergerakan daripada mereka di depan menghidupkan pasukan.

“Jadi sudah berapa perlawanan mereka bersama, dan saya percaya kedua-dua pemain ini akan dapat beri lebih lagi untuk menewaskan Kuala Lumpur.

“Mengenai Abu Bakar pula, saya ada tanya dia masih sakit atau tidak dan boleh nampak macam dia masih sakit, jadi mungkin kita perlu rehatkan dia lagi, tapi ia tidak la serius sangat”, jelasnya.

Sementara itu, Perak FC pula mengharapkan sesuatu yang lebih positif dapat diraih dalam aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini walaupun sedar ia akan menjadi perlawanan yang cukup sukar.

Jurang antara kedudukan kedua-dua pasukan ini cukup besar menyaksikan Perak kini di tangga kedua tercorot berbanding JDT selaku pendahulu liga, namun pengendali, Chong Yee Fatt menyifatkan anak buahnya sedar tanggungjawab mereka untuk memberikan sehabis baik sepertimana yang dilakukan ketika menentang Kuala Lumpur tempoh hari.

Masih lagi gagal untuk mencari kemenangan selepas tiga perlawanan terdahulu, mahu atau tidak, Perak perlu lebih aggresif untuk mengutip mata agar dapat keluar daripada zon penyingkiran.

“Saya boleh katakan pemain-pemain dalam keadaan yang baik ketika ini dan kami sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan yang getir pada malam esok.

“Semua tahu ia bukanlah perlawanan mudah jika berdepan JDT dan saya harap pasukan dapat memberikan pertarungan sengit untuk meraih sesuatu.

“Kalau ikutkan, sebaik sahaja liga bersambung, memang prestasi kami bukanlah yang terbaik apabila tewas dengan Terengganu, tetapi seri dengan Kuala Lumpur sekurang-kurangnya beri sesuatu yang positif untuk pasukan”, katanya.

Selain aksi antara Perak dan JDT, dua lagi perlawanan yang akan berlangsung esok membabitkan Kuala Lumpur City FC menentang Melaka United FC dan Penang FC berdepan Selangor FC.

Dua aksi pula berlangsung pada Ahad termasuklah Sri Pahang menentang PJ City FC manakala Terengganu FC akan menerima kunjungan Sabah FC. – MalaysiaGazette