Home Pendapat Covid-19: Kesan ke atas sistem kardiovaskular

Covid-19: Kesan ke atas sistem kardiovaskular

Pesakit jantung perlu diberi keutamaan mengambil vaksin. Gambar hiasan

PANDEMIK Covid-19 sudah melanda dunia hampir dua tahun dan mengakibatkan banyak jiwa yang terkorban. Ibubapa yang kehilangan anak, anak-anak yang menjadi yatim piatu, serta ramai yang kehilangan pasangan dan hilang tempat bergantung. Dan sehingga saat ini, dunia masih lagi berperang dan melawan tanpa henti untuk menghentikan wabak Covid-19 ini.

Semasa pandemik ini bermula, kita menyedari kurangnya kemasukan pesakit ke hospital disebabkan serangan jantung. Namun kemasukan pesakit jantung ini ke hospital mutakhir ini kembali meningkat. Secara amnya virus ini akan menjangkiti saluran pernafasan dan menyebabkan jangkitan terus ke atas organ paru-paru manusia. Pesakit yang terkena virusCovid-19 ini akan mengalami demam, sesak nafas, cepat penat, sakit otot dan ada juga yang mengalami cirit-birit. Simptom ini disebabkan proses inflamasi yang berlaku di dalam badan manusia ke atas reaksi jangkitan virus Covid-19 ini.

Selain daripada simtom di atas, pesakit Covid-19 ini juga berisiko untuk mendapat komplikasi dan kecederaan ke atas jantung (myocardial injury), sindrom akut jantung (ACS) termasuklah serangan jantung, pembentukan darah beku di dalam salur darah dan kesan ke atas ritma jantung. Statistik awal daripada Yanjun et al, kajian data retrospektif yang dikumpul daripada 64 pesakit, menunjukkan lebih separuh daripada pesakit-pesakit ini mengalami komplikasi jantung (myocardial injury).

Mereka yang mengalami kecederaan ke atas jantung ini kebanyakannya melebihi umur, penghidap penyakit jantung sebelum ini dan juga mempunyai risiko untuk mendapat penyakit jantung seperti perokok. Mereka yang mengalami komplikasi jantung ini berisiko untuk mengalami komplikasi ke atas organ-organ lain di dalam badan contohnya kegagalan buah pinggang.

Di dalam kertas kajian meta analisis oleh Li et al yang melibatkan 1, 527 pesakit, pesakit yang menghidap diabetes dan penyakit jantung mempunyai risiko kematian yang tinggi jika dibandingkan dengan pesakit-pesakit yang tiada penyakit sebelum ini. Matteo et al pula menyatakan pesakit-pesakit jantung yang dijangkiti virus Covid-19 ini lebih berisiko untuk berada di ‘Intensive Care Unit’ (ICU) lebih lama dibandingkan dengan pesakit-pesakit lain. Selain daripada serangan jantung, pesakit Covid-19 ini juga berisiko untuk mendapat strok (angin ahmar) dan pulmonary embolism (darah beku di dalam salur darah peparu).

Kondisi ini disebabkan terbentuknya darah beku di dalam salur darah dan memerlukan ubat cair darah yang sesuai untuk rawatan. Banyak lagi data dari seluruh dunia yang menyeru supaya semua pesakit jantung ini divaksin awal untuk mengelakkan jangkitan virus Covid-19 dan komplikasi yang teruk. Kami menyeru marilah kita bersama-sama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), khasnya pesakit jantung juga pesakit yang berisiko untuk mendapatkan vaksin. Jika kita sudah divaksin. Komplikasi yang teruk dapat dielakkan apabila kita sudah mendapatkan vaskin kerana badan kita sudah mempunyai immuniti yang kuat dalam melawan penyakit ini.

Selain daripada mendapatkan vaksin, jika juga perlu mengekalkan SOP seperti sentiasa memakai mask dengan betul, selalu membasuh tangan atau sanitizer serta sentiasa menjaga penjarakan apabila bertemu dengan orang. Kalau boleh elakkan diri berada di kawasan orang ramai yang sesak. Hanya keluar rumah apabila ada keperluan mendesak kerana Covid-19 juga boleh merebak melalui udara dan sentuhan.

Ajaran Islam amat menitik beratkan kaedah pencegahan secara umum atau dalam bidang perubatan. Allah berfirman dalam Surah Al Baqarah Ayat 195 yang bermaksud “Janganlah kamu melemparkan diri kamu ke lembah kebinasaaan”. Ayat ini melarang untuk kita mencampakkan diri kita di dalam bahaya demi menjaga kesihatan dan keselamatan kita.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Jika kamu mengetahui wabak taun berlaku di sesuatu kawasan maka janganlah kamu memasukinya. Jika ia berlaku di sesuatu kawasan yang kamu diami maka janganlah kamu keluar dari kawasan itu”.Hadis ini menunjukkan ini jelas menunjukkan tentang langkah pencegahan yang harus diambil jika berlaku sesuatu penyakit atau wabak. Tindakan yang berkait dengan pencegahan memang sangat dituntut oleh Islam.

Wallahualam.

Dr Nor Halwani Habizal
Consultant Cardiologist and Electropysiologist
Hospital Serdang.

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia.