Home Pendapat Kedaulatan Raja-Raja tonggak keadilan, kestabilan dan keamanan negara

Kedaulatan Raja-Raja tonggak keadilan, kestabilan dan keamanan negara

takiyuddin hassan revocation of Emergency Ordinance Dewan Rakyat Parliament Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

MUWASOLAH Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR) MAMPIR merujuk kenyataan berkaitan isu pembatalan Ordinan Darurat yang dikeluarkan Istana Negara pada 29 Julai 2021, kenyataan media pejabat Perdana Menteri 29 Julai 2021 dan warkah titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertarikh 29 Julai 2021 yang mula tular pada 30 Julai 2021.

Susulan itu MAMPIR turut mengamati komentar ahli-ahli politik, agamawan, netizen dan juga kupasan beberapa pakar bidang perundangan dan Perlembagaan.

Meneliti struktur asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia, memperhalusi Perkara-perkara 39, 43, 44, 66, 121(1), 150 dan perkara-perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan, ternyata amalan pemisahan cabang kuasa amat penting bagi menjamin proses semak imbang bagi pemerintahan negara berjalan dengan sempurna.

Perkara-perkara tersebut secara jelas menghuraikan mengenai fungsi kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam bidang Eksekutif, Legislatif (Perundangan) dan Judisiari (Kehakiman).

MAMPIR juga mendapati kekeliruan yang masih menyelubungi sebahagian besar masyarakat termasuk ahli politik dan agamawan terhadap struktur asas negara dan pentafsiran Perlembagaan Persekutuan berlaku kerana pengabaian kepada “jurisprudence” (fiqh dalam teori asas Kedaulatan dan falsafah undang-undang) berlandaskan watan merangkumi sejarah, sosio budaya, agama dan amalan perundangan di Tanah Melayu.

Akibatnya, telah terbentuk persepsi yang kurang tepat terhadap kedudukan Seri Paduka Tuanku Raja-Raja Melayu.

MAMPIR berpandangan isu kontroversi perundangan yang berlaku mengisyaratkan betapa pentingnya tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang jelas, tepat dan tegas oleh pakar-pakar bidang yang berotoriti agar tidak mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan dapat menjamin Keluhuran Perlembagaan itu sendiri.

Justeru, Badan Kehakiman diseru untuk melaksanakan kuasa semakan dengan pemakaian prinsip struktur asas berteraskan watan negara ini agar jati diri Malaysia yang diwarisi melalui sejarah perundangan ratusan tahun terus terpelihara.

MAMPIR secara konsisten menegaskan kepentingan pemerkasaan Institusi Raja-Raja khasnya prerogatif Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai paksi kuasa dan keseimbangan pemerintahan negara.

Kedaulatan Raja-Raja adalah tonggak keadilan, kestabilan dan keamanan negara.

Kesetiaan, kejujuran dan kebijaksanaan ahli-ahli Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan dalam menjalankan amanah Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu adalah tonggak kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Manakala ketaatan, kepatuhan dan kebersamaan rakyat adalah teras kekuatan Raja-Raja, pentadbir dan negara.

Razali Daud

Penulis, Razali Daud adalah wakil Sekretariat MAMPIR