Home Nasional Pembangkang cuba gugat kerajaan PN – Osman Sapian

Pembangkang cuba gugat kerajaan PN – Osman Sapian

Bekas Menteri Besar Johor, Osman Sapian

JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Ayer Hitam mengutuk cubaan pihak pembangkang di Dewan Rakyat yang mahu mengugat dan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Datuk Osman Sapian berkata, tindakan tersebut tidak sewajarnya berlaku dalam keadaan rakyat dan kerajaan berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya menyeru semua pihak berganding bahu, bersatu padu dan mengelakkan sebarang perbezaan pandangan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan situasi Pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ahli jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor berharap rakyat dapat bertenang dalam menghadapi situasi terkini.

“Bersama kita berdoa agar kemelut politik dan Pandemik Covid-19 akan segera berakhir,” katanya yang juga bekas Menteri Besar Johor.

Selain itu, pihaknya menzahirkan sokongan penuh dan tanpa belah bahagi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinannya dalam kerajaan PN.

“Bersatu Ayer Hitam juga menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 pada sidang khas Parlimen yang kini berlangsung.

“Bersatu Ayer Hitam juga sentiasa bersedia dalam melaksanakan agenda membela rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette