Home Politik Pemuda Pas gesa polis siasat kebocoran surat istana

Pemuda Pas gesa polis siasat kebocoran surat istana

Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengarahkan semua pemimpin pemuda parti itu membuat laporan polis berhubung penyebaran surat bertarikh 29 Julai 2021 yang didakwa dari Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sayap parti itu memandang serius perkara berkenaan dan menggesa polis menyiasat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat itu.

“Suatu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan untuk melihat sama ada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.

“Kita telah mengarahkan semua Dewan Pemuda Pas Negeri dan kawasan untuk membuat laporan polis.

“Pemuda Pas menyifatkan perbuatan itu boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan, warkah berkaitan penamatan Ordinan Darurat Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri tular di media sosial.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dilihat antara yang terawal berkongsikan warkah tersebut dalam Facebooknya dengan memuatnaik status ringkas, “Baru terima”.

Dalam warkah itu dilaporkan, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lalu.

Menurut Ahmad Fadhli, perbuatan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

Katanya, jika benar surat itu wujud, tentunya ia adalah surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu Muhyiddin.

“Sedangkan, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan tindakan itu telah menimbulkan polemik dan kekecohan di kalangan masyarakat serta menampakkan seolah berlakunya krisis antara istana dan eksekutif.

Sepatutnya, kata beliau, ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu itu berlandaskan undang-undang serta kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan.

Menurut Fadhli, dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.

Kata beliau, Pemuda Pas mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik.

Beliau mengajak semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Wahai Puteri Gunung Ledang…polis sepatutnya siasat penipuan yang dibuat oleh PAS dan Takiyudin…Polis sepatutnya siasat penderhakaan PAS terhadap titah DYMM Agong…rakyat perhatikan saja

Comments are closed.