KUALA LUMPUR – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkongsi kejayaan Selangor selepas mencapai kadar vaksinasi harian lebih 150,000 suntikan dos vaksin Covid-19 setakat 31 Julai lalu.
Amirudin berkata, jumlah itu melepasi sasaran diletakkan Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini sebanyak 135,000 dos sehari.
“Alhamdulillah, menutup bulan Julai dengan kejayaan vaksinasi di Selangor. Kadar vaksinasi harian di Selangor terus meningkat.
“Pada 30 Julai dan 31 Julai, 159,000 dan 152,000 dos suntikan sehari dicatat, melepasi sasaran Julai sebanyak 135 ribu dos sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Amirudin, kejayaan itu tidak mengambil kira kadar vaksinasi harian Program Vaksin Selangor (SelVAX) iaitu 15,000 dos sehari.
“Kadar ini akan terus dipertingkatkan setiap hari. Terima kasih kepada semua petugas perubatan dan keselamatan yang terus komited memberi khidmat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette