SEJAK belakangan ini, banyak disiarkan berita-berita berkenaan keadaan masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Ada yang terjejas pendapatan mereka dan ada pula yang mengalami gangguan emosi, malah isu-isu rumah tangga juga tidak kurang hebatnya.
Justeru, dalam fasa yang getir ini dapat dilihat bahawa kebanyakan daripada kita diuji daripada pelbagai sudut yang berbeza, namun tetap perlu kekal tenang bagi menghadapi cabaran agar kita dapat meneruskan kehidupan dan tidak tersasar daripada landasan yang benar.
Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan bagi mengisi emosi yang tidak menentu ini.
1. Lakukan perkara yang bermanfaat dan menggembirakan
Setiap orang pasti mempunyai “happy pills” masing-masing. Cuba gunakan segala sumber yang ada walaupun agak terhad pada masa ini untuk kita laksanakan hobi dan perkara yang kita minati.
Semenjak PKP bermula tahun lepas, ramai yang sudah memulakan aktiviti berkebun dan bercucuk tanam sehingga membuahkan hasil. Sebahagian besar wanita juga mula mencuba pelbagai jenis menu dan resipi masakan.
Selain daripada itu, masa yang ada sekarang merupakan peluang keemasan untuk kita tingkatkan ilmu dan kemahiran. Kini sangat banyak kelas kemahiran, kuliah dan ceramah yang diadakan secara dalam talian untuk kita sertai.
Jadi, dengan terisinya masa kita diharap dapat menyibukkan diri daripada asyik memikirkan masalah yang dihadapi.
2. Menentukan keutamaan dalam menyelesaikan tugasan
Dalam kita menjalani kehidupan seharian, pastinya ada banyak tugasan dan tuntutan yang menuntut komitmen kita.
Sebagai contoh, seorang wanita yang bergelar ibu yang berkerjaya, banyak peranan dan tanggungjawab yang dipikul dan setiap satunya perlu diurus dengan baik.
Maka, amatlah penting untuk kita meletakkan prioriti dalam menyelesaikan tugasan harian agar tiada yang tercicir dan mengelakkan kerja pada saat akhir. Jika ini berlaku, pasti boleh menimbulkan tekanan dan boleh menyebabkan tugas itu tidak terlaksana dengan baik atau tidak selesai.
3. Stress merupakan cabaran emosi yang sering berlaku kepada manusia yang normal
Stress yang tidak terkawal boleh mengakibatkan gangguan emosi, masalah tingkah laku dan perubahan personaliti. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit mental dan fizikal.
Antara perkara yang boleh kita lakukan adalah dengan mengawal kemarahan dan kesedihan apabila diuji di samping mengubah cara kita berfikir agar sentiasa bersikap positif.
Pastikan dapat rehat yang secukupnya serta mengamalkan gaya hidup sihat dan jika perlu elakkan diri daripada membaca berita-berita yang boleh mengganggu emosi kita. Dapatkan nasihat daripada anggota kesihatan jika keadaan berlarutan dan tidak terkawal.
4. Dapatkan sokongan daripada orang sekeliling
Apabila tekanan dan kesusahan melanda, amatlah penting untuk kita berada dalam sistem sokongan yang baik. Paling penting adalah apabila kita berkongsi rasa dengan seseorang sama ada ahli keluarga atau kawan-kawan yang boleh dipercayai.
Bercakaplah dengan mereka kerana berkongsi perasaan mampu melegakan hati dan mengurangkan tekanan.
5. Dekatkan diri kepada Allah
Sebagai seorang muslim dan hamba Allah, kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa hidup ini ialah ujian. Segala kebaikan dan keburukan semuanya datang daripada Allah. Jadi, kita perlu sentiasa rasa bersyukur atas nikmat dan ujian yang Allah kurniakan.
Allah telah berjanji dalam firman-Nya:
“Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu”.
(Surah Ibrahim : 7)
Antara manifestasi kesyukuran kita terhadap Allah adalah dengan mendekatkan diri kepada-Nya, perbanyakkan ibadah dan amalan soleh. Semoga dengan sikap kita itu, Allah akan mengganjari pahala yang banyak dan keberkatan yang luas.
Di samping kita berusaha untuk memastikan diri kekal tenang dan emosi terjaga, pandanglah sekeliling kita dan hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Sumbangan boleh diberi dalam bentuk kewangan, barang keperluan harian atau mungkin sekadar khidmat nasihat.
Paling penting adalah kita menjadi ahli masyarakat yang cakna dan empati agar kita dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.
Dr. Izzah Kamilah Mohd Tahir
Ketua Wanita ISMA Johor Bahru