LONDON – Pemain tengah Inter Milan, Christian Eriksen akan berehat sekurang-kurangnya enam bulan selepas mengalami serangan jantung dalam Euro 2020 lalu.
Eriksen telah menjalani pembedahan jantung yang dilengkapi dengan implan cardioverter defibrillator (ICD).
Pemasangan ICD itu telah menghalang pemain itu beraksi di Serie A kerana tertakluk kepada perundangan sukan Itali yang melarang mana-mana atlet yang menggunakan bantuan ICD terlibat dalam perlawanan profesional.
ICD merupakan satu peranti kecil yang memantau kadar denyutan jantung dan kemudian berfungsi sebagai pembantu untuk merangsang jantung yang lemah secara tiba tiba.
Oleh sebab itu, ICD juga digelar sebagai heart starter.
Peraturan itu berbeza di negara lain seperti Belanda, yang mana Daley Blind dibenarkan beraksi dengan bantuan ICD di tulang rawannya.
Sebelum ini, Ketua Jawatankuasa Ilmiah FIGC (Persatuan Bola Sepak Itali) Franco Braconaro memberitahu, Eriksen dapat terus bermain di Liga Itali selagi dia mengeluarkan alat bantuan jantung itu.
Berdasarkan laporan oleh Sky Sport Italia, Eriksen masih mahu meneruskan kariernya bersama Inter Milan.
Namun ICD di dalam badannya hanya boleh dikeluarkan paling awal dalam tempoh enam bukan akan datang.
Ini bermakna Eriksen perlu berehat selama tempoh tersebut namun dia akan tiba di Milan pada minggu hadapan untuk menyertai kem pra musim.
Eriksen rebah di padang pada akhir babak pertama ketika Denmark menghadapi Finland pada perlawanan pertama peringkat kumpulan Euro 2020.