Home Nasional NGO desak tindakan tegas terhadap penganjur Himpunan #Lawan

NGO desak tindakan tegas terhadap penganjur Himpunan #Lawan

Peguam, Kamarudin Ahmad (dua kiri) bersama wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Lima badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak polis mengenakan tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi kepada penganjur Himpunan Keluar dan #Lawan di ibu kota pada Sabtu lalu.

Wakilnya, Kamarudin Ahmad selaku peguam yang mewakili lima badan NGO berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pukul 11.30 pagi membuat satu laporan polis mengenainya.

Menurutnya, laporan polis itu bertujuan meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas kerana penganjur Himpunan #Lawan yang didakwa melanggar prosedur operasi standard kerana berkumpul beramai-ramai tanpa penjarakan sosial.

“Kehadiran begitu ramai peserta bakal mewujudkan risiko kluster perhimpunan.

“Justeru kami juga kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang berdiam diri ke atas peserta yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada saat negara dilanda Covid-19 dengan angka semakin mengganas (Varian Delta), perhimpunan #Lawan mengancam kesihatan dan ketenteraman awam dan kami desak polis bertindak tegas ke atas penganjur perhimpunan,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi hari ini.

Menurut Kamarudin, langkah tegas berlunas undang-undang itu penting bagi memastikan sebarang perhimpunan  melanggar SOP PKP tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Tambah beliau, tindakan tanpa kompromi sangat dikehendaki ke atas kesemua pihak penganjur  kerana pihaknya bimbang tindakan tidak bertanggungjawab kluster lawan akan menambah angka Covid-19.

“Kita masyarakat tidak mahu benda ini berterusan..janganlah, kalau tiada tindakan polis nanti, akan wujud lagi kumpulan membuat perbuatan sama, sampai bila kita kena kurung?

“Kita akan terus kena kurung seperti ini akibat Covid-19 selagi angka tak turun dan matlamat kita supaya tiada sebarang himpunan sebegini berlaku selepas ini dan perlu dipantau dan disusuli tindakan tegas polis berlunaskan undang-undang yang ada,” tegasnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kurung dan tahan mereka SEMUA penganjur dalang peserta dalam wad ICU COVID supaya lihat sendiri kebenaran covid dan pengorbanan frontliner…..jika denda kompaun nanti ramailah kutip derma macam sadiq sigaragar

Comments are closed.