KUALA LUMPUR – Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan beralih ke Fasa Tiga Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Rabu ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya petang tadi berikutan ketiga-tiga negeri itu menunjukkan prestasi yang amat baik.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan… suka untuk saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.
Sementara itu, beliau berkata, kemudahan untuk sektor ekonomi dan individu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diumum pada waktu terdekat.
Beliau berkata, perkara itu perlu diperhalusi bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Muhyiddin turut menekankan bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.
“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette