KUALA LUMPUR – Kekurangan gajet dan peralatan komputer di mana-mana hospital berstatus Covid-19 membataskan petugas perubatan berhubung dengan waris, apatah lagi membuat panggil video terakhir buat tatapan keluarga.
Begitulah kekangan yang dihadapi petugas-petugas kesihatan di Hospital Ampang sejak fasiliti perubatan itu diangkat sebagai hospital Covid-19 sejak 23 Julai 2021.
Susulan kekangan itu, Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA), Datuk Hasry Sham Chasmen hari ini menyatakan komitmen untuk membantu Hospital Ampang bagi menjayakan klinik visual bagi memudahkan interaksi antara doktor dengan keluarga pesakit,
“Bila pesakit berjumpa dengan doktor atau buat panggilan video di akhir hayat, dia memerlukan seperti laptop atau satu akses digital di mana keluarga dan doktor dapat berhubung.
“Kita difahamkan Hospital Ampang akan ada klinik visual di mana doktor boleh berhubung dengan pesakit dan keluarga pesakit dengan susah, bagi memudahkan mereka berinteraksi.
“Masalah yang berlaku di mana-mana hospital selalunya ada kekurangan peranti menyukarkan doktor dan pewaris berinteraksi semasa mereka sepanjang masa,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi utama Hospital Ampang, hari ini.
Terdahulu, Hasry Sham menyerahkan sebanyak tujuh komputer riba kepada kepada pihak Hospital Ampang, yang diterima oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan), Mohd Said Adnan.
Dalam pada itu, Hasry Sham berkata, sumbangan itu bukan terhad di situ sahaja, bahkan banyak lagi NGO sentiasa menyokong dan bersedia membantu pihak hospital serta petugas perubatan termasuk bantuan peralatan perubatan.
“Kali akhir kami membuat sumbangan dan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.
“Bantuan ini merupakan kali ke-72 kali di seluruh negara untuk tahun ini sahaja dan kami berniat untuk membantu masyarakat, apatah lagi dalam keadaan pandemik Covid-19,” katanya.
Hasry Sham turut tidak keberatan untuk terus membantu mana-mana pihak yang memerlukan yang terkesan dengan Covid-19, termasuk hospital sendiri.
“Kami di PUMMA pun akan terus berinteraksi dengan hospital, sebagaimana kita berinteraksi dengan Hospital Ampang untuk memberi kerjasama baik dan sumbangan kepada hospital yang sangat memerlukan ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette