KUALA LUMPUR – “Jangan memandai cakap kalau tidak tahu fakta dan hanya mahu dapat publisiti untuk tujuan politik semata-mata,”
Itu nasihat MIC kepada Ketua Penerangan PKR, Datuk Shamsul Iskandar Md Akin yang dengan ‘biadab’ menegur Tan Sri SA Vigneswaran berhubung Ordinan Darurat.
Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan, turut terkejut dengan sikap pemimpin PKR itu yang masih lagi bermain-main politik ketika rakyat sedang menderita dan terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Sebenarnya saya tidak faham langsung apa yang cuba disampaikan oleh Shamsul Iskandar ini, adakah beliau faham dengan kenyataanya sendiri? Baik, saya terangkan kepadanya.
“Untuk makluman, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran sentiasa dan kekal menghormati DYMM YDP Agong. Untuk makluman anda pada tahun 2020, melalui satu temuramah eksklusif dengan MalaysiaGazette, beliau pernah terang-terangkan menggesa supaya Kuasa-Kuasa Raja harus di kembalikan.
“Untuk makluman saudara Shamsul pula, sebelum berbicara tentang siapa penderhaka mungkin anda boleh ‘recap’ sesuatu, yang pernah menderhaka ialah Presiden parti anda sendiri pada tahun 1993.
“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu, sudah lupakah kamu?
“Jadi sebelum memanggil seseorang itu angkuh, biadab dan derhaka adalah lebih ukur kain di badan kamu sendiri dulu, jangan memandai seolah-oleh kamu begitu prihatin dengan penderitaan rakyat walhal semua yang dilakukan itu tidak lebih dari nafsu kuasa politik,” katanya sebentar tadi.
Shamsul hari ini menyifatkan kenyataan Vigneswaran Sabtu lepas mengenai isu pembatalan ordinan darurat sebagai angkuh mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong.
Dakwa Shamsul tidak wajar Vigneswaran menganggap perbahasan mengenai ordinan berkenaan sebagai sia-sia dan UMNO perlu menyatakan pendirian mereka memandangkan MIC sebahagian daripada komponen BN.
Sabtu lepas, Vigneswaran berkata, tindakan ahli parlimen membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat mensia-siakan masa parlimen dalam usaha memulakan protokol dan prosedur ke arah membangunkan kembali negara ini.
Sambung Gunalan lagi, kenyataan Vigneswaran sebenarnya menyentuh tentang Ordinan Darurat yang akan terbatal dengan sendirinya pada 1 Ogos lepas.
“Oleh kerana itu kata Tan Sri Vigneswaran, sebab itu ianya tidak perlu dibahas dan sepatutnya yang menjadi tumpuan adalah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.
“Bukannya turun ke jalanan dan mungkin tambah kluster yang sedia ada. Apakah kamu tidak kasihan dengan rakyat dengan tidak habis-habis berpolitik? Kita masih sedang bertungkus lumus hadapi cabaran pandemik ini.
“Mengapa politikkan semuanya demi kuasa? Saya tidak faham langsung.
“Negara sedang menghadapi situasi paling getir dan tidak pernah dilalui pada masa lalu, tumpukan pada kerja anda sebagai Ahli Parlimen kepada rakyat, mereka undi anda kerana percayakan anda. Jangan buat drama kelirukan rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette
Adakah perintah Agong dalam parameter Perlembagaan? – Vigneswaran