Home Nasional Wakil rakyat pembangkang dihalang masuk bangunan Parlimen

Wakil rakyat pembangkang dihalang masuk bangunan Parlimen

Seawal jam 7.30 pagi tadi pintu masuk utama bangunan Parlimen dikawal ketat oleh pihak penguatkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Sekumpulan wakil rakyat pembangkang didapati cuba memasuki bangunan Parlimen di sini hari ini walaupun Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan.

Mereka bagaimanapun ditahan oleh pasukan polis yang bertugas.

Seawal jam 7.30 pagi tadi pintu masuk utama bangunan Parlimen dikawal ketat oleh pihak penguatkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut berada di pintu masuk Parlimen adalah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Kedua-dua arah jalan untuk keluar masuk ke Parlimen turut dikawal ketat oleh polis dan FRU.

Kesemua kenderaan yang ingin memasuki perkarangan Parlimen diminta untuk patah balik.

Pada jam 8.55 pagi tadi, kenderaan yang dinaiki Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul diarahkan patah balik dan dilihat meninggalkan Jalan Parlimen.

Turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Bagaimanapun, kelibat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum kelihatan di sekitar perkarangan jalan masuk ke Parlimen.

Semalam, Syed Saddiq berkata beliau akan tetap hadir ke Parlimen Isnin ini untuk menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat.

Ia ekoran perancangan beberapa ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berkata pihaknya akan tetap memasuki Dewan Rakyat biarpun Sidang Khas Parlimen ditangguhkan hari ini.

Langkah itu diambil selepas Parlimen menerusi Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.

Difahamkan, selepas wakil rakyat pembangkang dihalang memasuki bangunan Parlimen, mereka dikatakan cuba berkumpul di Dataran Merdeka – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ya ALLAH DEMI KEBESARAN DAN KEAGONGANMU ITU BENAR…..KAU TUNJUK KEPADA MEREKA2 PEMIMPIN YANG SOMBONG BONGKAK INI TIDAK PERCAYA COVID ITU BENAR SUPAYA MEREKA MENERIMA WABAK INI KERANA KESOMBONGAN MEREKA MENYUSAH DAN MUDARATKAN NEGARA..AMINNNN

    Ambil ikhtibar dengan kesombongan dan kebongkakan Shazni Munir SEMASA SIHAT habis ditelanjangi usaha2 baik kerajaan dan frontliner bertungkuslumus mengawal COVID…spt sia-sia belaka….ALLAH MAHA KUASA DAN HEBAT tunjukan balasan mereka yang sombong dengan ALLAH

    sepatutnya kita bermuhasabah diri dengan berusaha bertabah dan bertawakal dengan UJIAN ALLAH ini bukan nak tunjuk AKULAH HERO dan sehebatnya dari orang lain

Comments are closed.