Home Politik Bicara politik pembangkang dijalanan hanyalah retorik murahan – Shahir

Bicara politik pembangkang dijalanan hanyalah retorik murahan – Shahir

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bersama ahli-ahli parlimen pembangkang membuat demonstrasi di laluan masuk Jalan Parlimen berikutan tidak dibenarkan masuk ke Parlimen, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 OGOS 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Desakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mahu membicarakan keluh-kesah rakyat di jalanan hanyalah retorik politik murahan.

Perkara itu dapat dilihat jelas apabila mereka berhimpun tanpa menghiraukan penularan wabak Covid-19 yang sedang mengganas ketika ini, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau berkata, tidak cukup dengan karenah kurang ajar serta tiada adab terhadap nilai-nilai ketimuran rakyat Malaysia, pembangkang berteriak dan menghambur kata-kata kesat sepanjang empat hari di Dewan Rakyat.

“Malah mereka telah menggunakan anak-anak muda untuk turun ke jalanan mengadakan demonstrasi ketika Covid-19 memuncak pada hujung minggu. Ini jelas dengan kehadiran beberapa orang pimpinan pembangkang yang turut turun ke jalanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, pihaknya berharap agar tidak ada lagi rakyat Malaysia yang terpedaya dengan retorik politik murahan Pakatan Harapan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Fakta menunjukkan mereka boleh ‘tidur’ sebantal sebelum kejatuhan Barisan Nasional dan kemudian bercakaran sesama sendiri antara dua pemimpin iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya.

Beliau berkata, semalam Dr Mahathir berdemonstrasi bersebelahan Anwar dan rakyat perlu berfikir tentang perkara itu agar tidak mudah ditipu untuk kali kedua dengan propaganda politik PH.

“Anak muda perlu bijak dalam membezakan yang mana permata dan yang mana kaca. Kalian sudah ditipu oleh Pemuda Pakatan Harapan ketika itu, di bawah YB Syed Saddiq. Semua yang dijanjikan di dalam Manifesto PH untuk anak muda hanya tinggal janji manis.

“Kini Syed Saddiq menggunakan platform MUDA untuk menjanjikan bulan dan bintang kepada anak muda. Bagaimanakah mahu memimpin anak muda jika diri sendiri didakwa dengan kes pecah amanah?” soalnya. – MalaysiaGazette