Home Nasional Buzze Azam mengaku tidak bersalah buat kenyataan jelik

Buzze Azam mengaku tidak bersalah buat kenyataan jelik

Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Seorang peguam yang juga aktivis politik hari ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan membuat kenyataan jelik berkenaan sistem kehakiman negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook miliknya pada Mac lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz didakwa secara sedar telah melakukan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman sosial Facebook.

Dia didakwa telah melakukan kesalahan itu dalam laman profil Facebook bernama Buzze Azam pada 1.04 petang pada 24 Mac lalu.

Status itu kemudian telah dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada 3.50 petang 25 Mac lepas.

Kesalahan yang didakwa telah dilakukan oleh Mohd Khairul mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen tersebut telah memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Selain itu juga denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk tuduhan itu selain syarat tambahan.

Namun tertuduh melalui peguamnya, Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah berkahwin dan menanggung lima anak yang masih kecil.

Malah dalam rayuan tertuduh, beliau yang berkerja sebagai peguam itu juga terkesan pendapatannya sepanjang pandemik melanda sejak tahun lalu sehingga tahap terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membayar pekerja di syarikat guaman beliau.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 September ini untuk sebutan kes.

Sebelum ini, Mohd. Khairul dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membuat kenyataan yang mengapi-apikan orang Melayu dengan kaum Cina dan India, selepas Jabatan Peguam Negara meneliti representasi daripada pembelaan dan menarik balik pertuduhan terhadap peguam itu. – MalaysiaGazette