Home Politik Pejuang tak mahu ulas isu politik, fokus MPN – Mukhriz

Pejuang tak mahu ulas isu politik, fokus MPN – Mukhriz

Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkembangan muktahir yang dicetuskan oleh pelbagai pemimpin politik ketika ini.

Dalam satu kenyataan, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya mahu fokus dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pejuang merafak sembah menjunjung kasih di atas titah Kebawah Dulu Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong agar fokus diberikan kepada krisis kesihatan dan ekonomi berikutan pandemik yang melanda negara selama hampir 17 bulan ini.

“Sememangnya itu yang dihasratkan oleh Pejuang ketika mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan mengembeleng tenaga pakar bagi tumpuan menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.

Isu politik muktahir yang dimaksudkan Pejuang mungkin berkaitan dengan keputusan UMNO dalam Mesyuarat Majlis Tertingginya yang sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada YDPA dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO. – MalaysiaGazette