Home Pendapat Perginya seorang pejuang

Perginya seorang pejuang

SEORANG aktivis kesatuan sekerja telah menjadi mangsa terbaru Covid-19 semalam.

Badrulzaman Mohd Ghazali 49, seorang wakil kesatuan penerbangan telah meninggal dunia pada jam 1 tengah hari semalam di HUKM.

Beliau telah dimasukkan ke hospital Jumaat lalu selepas mengalami kesukaran sesak nafas.

Tidak sangka selepas 3 hari, kami menerima berita beliau telah pergi ke kampung abadi.

Berita ini sungguh mengejutkan rakan-rakan kesatuan. Kesatuan sekerja negara  kehilangan seorang seorang pegawai perhubungan industri yang ramai kenali di dalam dan di luar negara.

Arwah yang pernah berkhidmat sebagai juruteknik pesawat selama 16 tahun di sebuah syarikat penerbangan sangat komitted dalam hal kebajikan pekerja.

Dia pergi kerana Covid-19. Ramai pekerja juga telah menjadi mangsa akibat Covid-19.

Sebagai kesatuan pekerja, saya memohon kerajaan agar melakukan sesuatu dengan kadar segera dengan lebih efektif untuk membendung wabak ini.

Semakin hari kes semakin naik, tiada nampak kekurangan. Ini adalah satu petanda yang amat membimbangkan ramai pekerja dalam negara.

Malah, masa depan mereka juga terancam.

Sampai bila mereka perlu duduk rumah? Apakah pelan yang lebih efektif selain duduk rumah dan mengambil vaksin.

Ramai mereka ini telah mengambil 2 dos vaksin tapi masih rasa terancam dan tidak selamat.

Mereka masih bertanya apakah solusi kerajaan selain daripada mengambil vaksin.

Kerajaan tidak boleh sekadar menunjukan angka kes naik setiap hari, sebaliknya mesti menunjuk pelan yang lebih baik bagi menangani masalah Covid-19.

Ramai pekerja dalam negara hari ini telah hilang pekerjaan dan isu ini membimbangkan ramai pihak.

Ya, kami telah hilang seorang rakan pejuang yang sentiasa bersuara demi keadilan pekerja tanah air.

Isteri dan tiga orang anak Allahyarham juga kehilangan.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih di Gombak hari ini.

Ismail Nasaruddin
Presiden NUFAM