Home Politik Tindakan halang MP masuk Parlimen satu kesalahan – Majlis Presiden PH

Tindakan halang MP masuk Parlimen satu kesalahan – Majlis Presiden PH

Pakatan Harapan (PH) hari ini kesal dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa tidak mengiktiraf tuntutan bayaran faedah bagi moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50).

KUALA LUMPUR – Tindakan mengugut dan menghalang ahli-ahli Parlimen dari menjalankan kuasa-kuasa yang sah di sisi undang-undang melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan kesal dengan tindakan mengarah serta memperalat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghalang ahli-ahli Parlimen dari memasuki Parlimen semalam.

Menurutnya, tindakan menghalang 107 ahli Parlimen satu pelanggaran perintah yang telah dikeluarkan Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara berdasarkan usul Menteri Dalam Negeri bertarikh 13 Julai 2020 sewaktu permulaan mesyuarat kedua Penggal ke-3.

Usul itu berbunyi; “Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang Ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini dan supaya jangan ada huru-hara di bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu.”

Menurut Majlis Presiden PH, penting dijelaskan Parlimen sekarang masih berada dalam Penggal ke-3 oleh kerana tiada pewartaan proklamasi oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memprorog Penggal tersebut berdasarkan Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam 107 ahli Parlimen dari parti-parti pembangkang telah dihalang dari memasuki Parlimen dan halangan itu bermula dari sekatan jalan raya di beberapa lokasi menghala ke Parlimen serta kehadiran anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Bulatan Dato’ Onn.

“Kami juga amat kesal dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang telah membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara ini berlaku.

“Pada masa yang sama, keputusan Yang di-Pertua membenarkan ahli-ahli Parlimen yang merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara masuk ke Parlimen untuk mesyuarat semalam membukti bahawa Yang di-Pertua wajib dipertanggungjawab atas arahan yang juga telah menghalang ahli-ahli Parlimen lain dari memasuki Parlimen.

“Beliau telah gagal melindungi dan mempertahan hak ahli-ahli Parlimen dan mesti meletakkan jawatan. Kami juga telah meminta ahli-ahli Parlimen untuk membuat laporan polis bagi mengenal pasti mereka yang telah mengeluarkan arahan ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Niat kami untuk hadir ke Parlimen semalam hanyalah untuk menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa, berasaskan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen perlu membahas dan memutuskan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat,” kata kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Namun sekali lagi, kata mereka, Kerajaan Perikatan Nasional telah menunjukkan inilah Kerajaan yang telah mengingkari titah perintah Seri Paduka Baginda, tidak mengendahkan Parlimen, dan melanggari Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Puak² bangang ni tk reti ka dewan ditangguh. Hampa nl masuk buat kepala hotak apa. Speaker tangguh atas nasihat KKM, tkkn yg tu pun bengong nk paham sgt kot.. Dewan tk bersidang, buat apa polis nl bagi masuk. Polis jaga keselamatan. Dah la puak hampa berhimpun dgn SOP pun kelaut semuanya. Ingat puak hampa kebal sgt ka… Bengong…

Comments are closed.