Home Nasional Bekas pembantu JKM hadapi 25 pertuduhan seleweng wang

Bekas pembantu JKM hadapi 25 pertuduhan seleweng wang

Mohamed Hussain dituduh di Mahkamah George Town hari ini susulan seleweng wang JKM berjumlah RM107,370.

GEORGE TOWN – Seorang bekas pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Timur Laut di sini didakwa atas 25 pertuduhan seleweng wang jabatan itu berjumlah RM107,370.

Mohamed Hussain Mohamed Mydin, 41, mengaku bersalah terhadap 25 pertuduhan dibacakan berasingan dihadapan Majistret R. Manomani dan Majistret Rosnee Mohd Ridzuan hari ini.

Bagi pertuduhan dihadapan Manomani, Mohamed Hussain mengaku bersalah terhadap 12 pertuduhan berasingan dibawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi penjelasan munasabah terhadap wang dalam akaun bank Maybank dan CIMB miliknya.

Pihak polis membawa Mohamed Hussain ke Mahkamah George Town hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung wang berjumlah RM52,049 dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2017. 

Pertuduhan ke atas tertuduh dilakukan susulan berlaku penyelewengan wang jabatan berkenaan berjumlah RM107,370 yang dibuktikan menerusi laporan audit antara 2013 dan 2017. 

Manomani kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 untuk setiap satu pertuduhan dan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Bagi pertuduhan di hadapan Majistret Rosnee pula, tertuduh mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu gagal memberikan penjelasan munasabah terhadap wang berjumlah RM11,260 di dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2016.

Mohamed Hussain mengaku bersalah atas 25 pertuduhan dihadapinya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda maksimum RM1,000 terhadap setiap satu pertuduhan serta lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah dan Mohamed Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili R. Puran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. 

Sementara itu, bagi sembilan lagi pertuduhan, Mohamed Hussain turut mengaku bersalah di hadapan pembantu pendaftar mahkamah Muna Maria Azmi namun keputusan terpaksa ditangguhkan kerana Majistret sedang bercuti. 

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman. – MalaysiaGazette