Home Dunia Kediaman Menteri Pertahanan Afghanistan diserang

Kediaman Menteri Pertahanan Afghanistan diserang

Taliban kini menguasai majoriti kawasan di Kabul. Foto Reuters

KABUL – Empat orang terbunuh selepas serangan militan di kediaman Menteri Pertahanan Afghanistan.

Bagaimanapun semasa kejadian Bismillah Khan Mohammadi tiada di rumah.

Sekumpulan penyerang itu telah meletakkan bom di dalam kereta dan melepaskan tembakan secara besar-besaran,.

Keluarga Mohammadi selamat dibawa keluar dan para penyerang dibunuh.

Mohammadi menerusi ciapannya selepas serangan itu meminta orang ramai tidak risau kerana dia dan keluarganya dalam keadaan baik.

Jabatan Luar Negeri Amerika Syarikat mengatakan serangan itu menunjukkan “semua ciri” serangan Taliban.

Beberapa jam selepas serangan itu, penduduk-penduduk Kabul turun ke jalanan dan berada di atas bumbung kediaman masing-masing sambil meneriakkan Allahu Akbar (Tuhan yang paling hebat) dalam usaha menentang serangan Taliban.

Kejadian serupa turut dirakam pada hari Isnin di kota Herat, yang turut menyaksikan pertempuran sengit sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Pertempuran sengit antara militan dan pasukan pemerintah telah berlanjutan di bandar di wilayah Helmand di selatan Afghanistan, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sekurang-kurangnya 40 orang awam telah terbunuh di Lashkar Gah.

“Terdapat mayat di jalan raya. Kami tidak tahu apakah mereka orang awam atau Taliban,” kata seorang penduduk, yang tidak disebutkan namanya kerana alasan keselamatan, kepada BBC dalam satu wawancara di Whatsapp.

Menurutnya lagi, berpuluh-puluh keluarga telah meninggalkan rumah mereka dan menetap di dekat sungai Helmand.

Penduduk tempatan yang ketakutan memberitahu BBC mereka melihat mayat terbaring di jalanan.

Tentera Afghanistan menggesa orang awam untuk meninggalkan bandar itu menjelang serangan besar-besaran terhadap Taliban.

Pertempuran telah berlanjutan di kota itu selama beberapa hari, dengan militan tersebut kini dilaporkan menguasai kebanyakan daerah. – BBC