KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini dengan fokus utama kepada perkembangan politik tanah air yang menyaksikan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.
UMNO turut mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada Selasa.
Ketika berita ini ditulis Muhyiddin masih lagi berada di kediamannya dan dikhabar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebelum ke Putrajaya untuk mesyuarat Kabinet.
Amalan kebiasaan, Perdana Menteri sememangnya akan menghadap Seri Paduka Baginda setiap Rabu untuk mesyuarat pra-Kabinet dan kebiasaaannya pertemuan berlangsung jam 8 pagi.
Isnin lalu, Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Kabinet akan bermesyuarat bagi membincangkan usul untuk membahaskan pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat pada sidang Dewan Rakyat September nanti.
Ini berikutan pembatalan darurat dan ordinan-ordinan berkaitan tidak dapat disempurnakan apabila Seri Paduka Baginda menitahkan supaya perkara itu dibahaskan di di Parlimen untuk diluluskan dan kemudian diwartakan.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dauk Takiyuddin Hassan dalam jawapannya kepada Dewan Rakyat memberitahu bahawa pembatalan itu tidak perlu dibahaskan dan ia telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada 21 Julai lalu. – MalaysiaGazette