Home Pendapat Rumah kebajikan perlu diberi perhatian

Rumah kebajikan perlu diberi perhatian

LEWAT beberapa minggu yang lalu, nama Bella tiba-tiba masyhur diseluruh negara. Kita
digemparkan dengan kisah anak istimewa ini yang ditemui dan dipercayai didera semasa
berada di dalam jagaan sebuah rumah pelindungan di ibu kota. Penemuan yang tidak
terancang itu telah membongkar sebuah cerita duka yang meraih jutaan simpati terhadap
Bella samada melalui kaca televisyen, dada akhbar, media sosial dan juga blog-blog
persendirian. Kini, tempoh sebulan sudah berlalu, pembongkaran ini telah mengundang
pelbagai kecaman terhadap si pelaku, namun, apakah akan muncul sinar harapan dalam
menuntut pembelaan terhadap Bella?

Bella, seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang berusia 13 tahun itu
merupakan seorang yang ceria dan penyayang. Ciri-ciri ini sememangnya amatlah sinonim dengan diri beliau yang ditakdirkan lahir dengan Sindrom Down. Bella asalnya dilaporkan menjadi penghuni sebuah rumah perlindungan berdaftar iaitu Rumah Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah di Seremban. Namun, pada pertengahan tahun 2020, hak penjagaan Bella telah diberikan kepada seorang individu yang merupakan pengasas kepada sebuah rumah perlindungan badan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Kisah Bella mula menggemparkan negara apabila beliau telah ditemui di rumah
perlindungan tersebut dalam keadaan yang menyayat hati dan dipercayai didera. Kesan
kecederaan ditemui dengan jelas pada beberapa anggota badan beliau. Antaranya ialah kesan melecur yang teruk pada dada, tangan, leher, belakang serta kesan luka pada paha. Susulan kejadian itu, Bella telah dikejarkan ke hospital untuk diberikan rawatan segera atas kecederaan yang dialami dan laporan polis telah dibuat terhadap individu yang terbabit.

Bermula dari situ, kisah, gambar serta video kecederaan Bella mula viral di media sosial seterusnya membangkitkan simpati, sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bagi untuk Bella. Kisah ini mungkin bukan sahaja terjadi pada Bella. Ada kemungkinan masih ramai lagi kanak- kanak istimewa seperti Bella di luar sana yang menjadi mangsa buli atau pun mangsa penderaan. Mereka diseksa tanpa belas kasihan, namun mereka tidak berupaya untuk mengadu apalagi memberontak disebabkan oleh sifat mereka yang lahir sebagai kanak- kanak istimewa.

Perkara sebegini sudah pasti tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kerjasama dari
pelbagai pihak sangatlah perlu dalam mengembleng tenaga bagi melindungi golongan ini.
Golongan ini adalah golongan yang lemah dan perlu dipelihara dan dijaga kerana mereka
merupakan amanah yang Allah berikan kepada hambaNya bagi menguji tahap keimanan
seseorang manusia, samada kita berusaha untuk membantu golongan ini atau sebaliknya.
Salah satu pendekatan yang harus diambil bagi menangani isu sebegini ialah kerajaan
harus memastikan bahawa setiap rumah kebajikan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi hendaklah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). NGO yang ingin membuka pusat jagaan ini perlu menjalani kursus dan ujian sebelum diberi kebenaran untuk membuka pusat jagaan dan kebajikan ini.

Pengasuh yang menjaga pusat ini juga perlu dipastikan mempunyai kemahiran tertentu dalam menjaga anak- anak serta golongan ini. Pemantauan yang ketat dan berkala juga perlu dilakukan supaya kebajikan golongan ini terjaga. Kerajaan juga hendaklah memastikan rumah perlindungan tersebut melepasi ciri-ciri serta spesifikasi yang diperuntukkan untuk memelihara dan membela kanak-kanak atau remaja yang terbiar, malah, pemantauan tentang hal hal ehwal kebajikan penghuni juga boleh dilakukan dari masa ke semasa, bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dan dilindungi sepertimana yang sepatutnya. Kita berharap agar perkara ini dapat dilakukan dengan segera kerana sebarang ketidakpatuhan dari segi pendaftaran dan pemantauan mungkin mengundang perkara yang sama berlaku.

Cukuplah kita hanya mendengar cerita mengenai Bella, semoga anak-anak di rumah perlindungan yang lain di luar sana tidak ada yang menerima nasib yang sama seperti Bella, yang mungkin menderita sendirian dalam sendu dan diam. Masyarakat sekeliling juga hendaklah peka dan harus memainkan peranan masing-masing jika dirasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada jiran tetangga kita. Sekiranya kita dapat menghidu sesuatu perkara yang mencurigakan, maka segeralah melaporkan kejadian tersebut ke pihak berwajib sebelum berlakunya perkara yang tidak diingini sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: “Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada
cahaya (iman). Dan orang yang kafir, para penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 257)

Kita juga dituntut untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan mengajak orang lain
kearah kebaikan. Apa yang penting kemungkaran hendaklah ditegah daripada berlaku.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”.

Nabi Muhammad SAW menerusi sabdanya di dalam Riwayat Muslim yang bermaksud:
“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang
melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah
kesesatan nescaya dia berolehi dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun”.

Jadi, marilah kita sama-sama membantu antara satu sama lain dalam menjaga kebajikan
terutamanya pada insan-insan yang lemah dan memerlukan bantuan. Jangan kita mengambil kesempatan atau tidak menjalankan amanah yang Allah berikan kepada kita. Jangan disebabkan oleh faktor materialisma, kita sanggup melanggar semua batasan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kita jaga kita, Allah jaga kita!! Moga nasib insan yang teraniaya akan dibela. Amin

Prof Madya Dr Norhayati Luddin
Pensyarah Kanan dan Konsultant Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian,
Universiti Sains Malaysia &

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).