KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus konsisten dalam mempertahankan kelebihan di tangga teratas Liga Super selepas bekerja keras menundukkan Melaka United FC, 1-0 di Stadium Hang Jebat, kelmarin.
Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Bergson da Silva pada minit kedua sudah memadai buat anak buah Benjamin Mora meraih kemenangan kali keenam berturut-turut di pentas Liga Super.
Mora yang ditemui selepas sidang media perlawanan menyifatkan pertemuan dengan Melaka antara aksi sukar sambil memuji kewibawaan lawan kerana berjaya memberikan tentangan sehingga penghujung perlawanan.
“Melaka bermain bijak pada hari ini malah pemain importnya cukup bagus, sesuatu yang baik untuk Liga Malaysia dan kami bernasib baik apabila mendapat sepakan penalti pada awal permainan dan berjaya disudahkan oleh Bergson.
“Bukan mudah untuk pemain apabila mereka kena seimbangkan antara berikan tekanan kepada lawan serta bermain secara dinamik sepanjang waktu perlawanan.
“Kami memang mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan keputusan yang lebih selesa tetapi peluang tidak disempurnakan terutama menerusi Gonzalo Cabrera pada babak pertama manakala di separuh kedua melalui Bergson, Arif Aiman dan yang terakhir sekali menerusi Mohamadou Sumareh.
“Mungkin kami boleh menang dengan dua atau tiga jaringan tetapi tidak terjadi pada kali ini kerana bukan selalu dalam bola sepak kami boleh sempurnakan semua peluang yang ada.
“Cuma yang baiknya adalah pasukan ini punyai sistem penggiliran pemain yang menjadi setakat ini dan membuka ruang kepada semua pemain sentiasa berada dalam keadaan terbaik dalam tiap perlawanan, ” katanya.
Kali terakhir JDT keciciran mata ialah semasa seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City pada 30 April lalu dan kemenangan ini meletakkan mereka lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Terengganu FC.
Sementara itu, Selangor terus konsisten meraih kemenangan kali kedua berturut-turut apabila tidak berdepan masalah menumpaskan pasukan di tangga tercorot, UiTM FC, 2-0 di Stadium MBPJ.
Pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar membuka tirai jaringan pada minit ke-24 buat Selangor sebelum Ifedayo Omosuyi menggandakan kelebihan pada minit-57.
Kemenangan itu meletakkan Selangor kian kukuh di tangga kelima serta masih berpeluang mencabar kedudukan tiga terbaik yang kini sedang dihuni Penang FC dan Kedah Darul Aman FC.
“Sememangnya kami gembira dengan tiga mata ini walaupun saya rasa kita boleh main lagi bagus kerana pada mulanya saya bimbang melihat agak perlahan cara kita membina permainan pada hari ini.
“Selepas jaringan pertama, kami boleh bermain lagi baik malah boleh menang lagi besar namun pujian juga kepada penjaga gol yang meyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, ” katanya.
Dalam satu lagi perlawanan, Penang FC berhempas pulas menafikan kebangkitan lewat Perak FC untuk menang 5-3 di Stadium Perak, Ipoh sekali gus meletakkan tuan rumah kekal berada dalam zon penyingkiran liga. – MalaysiaGazette